Berita Harian

Penganggur mengaku tak salah tiga pertuduhan

-

Johor Bahru: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga pertuduhan menceroboh istana, cubaan membunuh seorang anggota Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) dan melakukan khianat di kawasan istana, minggu lalu.

Tertuduh, Razali Tafri, 44, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu sebaik ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah terhadap anggota JMF, Muhammad Haiqal Musa, 40, sehingga menyebabka­n lelaki itu cedera.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kawasan Istana Bukit Serene di sini, kira-kira jam 11.15 malam, 19 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapny­a dibuat mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Didakwa berada dalam kawasan larangan

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa berada dalam kawasan larangan tanpa kebenaran sah dan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (AKLTL) 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama.

Bagi perbuatan yang dilakukan di tempat dan masa yang sama itu, dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki bujang itu didakwa melakukan khianat dengan memandu serta melanggar penghadang jalan di kawasan pintu pagar C Istana Bukit Serene hingga mengakibat­kan kerosakan pada tempat berkenaan.

Perbuatan itu juga didakwa dilakukan di tempat dan masa yang sama.

Tertuduh diwakili peguam Arwa Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengguna pakai alasan mengikut Seksyen 8 AKLTL 1959.

Berdasarka­n seksyen berkenaan, mana-mana kesalahan terhadap peruntukan akta itu boleh ditangkap dan tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian bersetuju dan tidak membenarka­n tertuduh diikat jamin sebelum menetapkan 14 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia