Berita Harian

Juruwang kena 6 bulan, sebatan

-

Ipoh: Seorang juruwang sebuah stesen minyak dihukum penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku salah atas dua pertuduhan mencuri dan menyalahgu­nakan harta kerajaan, awal bulan ini.

Thur Aqil Zaharuddin, 20, didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak PETRONAS Kampung Simee dekat sini, antara 3 hingga 18 Julai lalu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa menyalah gunakan satu kad inden Petronas berjumlah RM12,066 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kegunaan peribadi dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Curi harta kerajaan

Bagi pertuduhan kedua, Thur Aqil didakwa mencuri harta kerajaan, iaitu satu kad inden PETRONAS milik PDRM yang disimpan dalam satu beg simpanan yang berada di stesen minyak PETRONAS Kampung Simee dekat sini pada tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Hafiza Jaafar kemudian menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan terhadap tertuduh bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua.

Siti Hafiza turut memerintah­kan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman berkenaan secara serentak dari tarikh dia ditangkap pada 19 Julai lalu.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam M Thangavelo­o dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

 ??  ?? Thur Aqil Zaharuddin dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
Thur Aqil Zaharuddin dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia