Berita Harian

Kelantan belum bincang isu royalti

-

Kota Bharu: Kerajaan negeri sehingga kini tidak mengadakan perundinga­n atau perbincang­an berhubung isu pembayaran royalti dengan Kerajaan Pusat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebarang pengumuman berhubung isu royalti diketahui menerusi kenyataan yang dibuat di Parlimen dan mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

Katanya, berdasarka­n kenyataan berkenaan, Kerajaan Pusat setuju akan membayar royalti, namun kenyataan di Parlimen baru-baru ini pula menyatakan sebanyak 20 peratus akan dibayar berasaskan keuntungan.

Tuntut apa terkandung dalam perjanjian

“Kita tuntut apa yang terkandung dalam perjanjian iaitu lima peratus daripada hasil pengeluara­n dan itu adalah asas kepada tuntutan kita.

“Dapat lima peratus pun sudah dikira baik, namun sekiranya dapat lebih, kita bersyukur. Namun setakat ini kita tidak berhasrat untuk bertemu bagi membincang­kan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaska­n bahawa 20 peratus yang diberikan kepada syarikat pengeluar minyak adalah royalti daripada keuntungan yang diperoleh daripada negeri masing-masing.

“Royalti berkenaan adalah berdasarka­n keuntungan yang diperoleh oleh setiap negeri. Kita tidak ambil (keuntungan) dari Terengganu dan beri kepada negeri lain.

“Jika keuntungan mencecah RM100 juta, jadi royalti minyak adalah 20 peratus daripada jumlah itu iaitu RM20 juta,” kata Dr Mahathir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia