Berita Harian

Pasangan, anak huni pondok buluh 3 tahun

Sengsara apabila hujan akibat atap, dinding daif bocor

- Oleh Safuri Kamarudin

Akibat kesempitan hidup, sepasang suami isteri dan dua anak terpaksa menjadikan sebuah pondok di pinggir Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, dekat sini, sebagai kediaman mereka sejak tiga tahun lalu.

Bagi Muhamad Fuzilah Che Azmi, 35; isterinya, Siti Zakiah Mustafa, 28, serta dua anak mereka, Muhammad Izzul Darwisy, 7, dan Siti Nur Iklil Amani, 2, pondok berdinding buluh dan beratap zink itu adalah syurga mereka.

Di situlah empat beranak berkenaan berteduh dari hujan dan panas, kerana mereka tidak mampu mendiami rumah lebih selesa kerana dihimpit kemiskinan.

Muhamad Fuzilah berkata, dia terpaksa membina pondok itu menggunaka­n kayu hutan dan barangan terbuang kerana tidak mampu menyewa rumah, selain malu untuk menumpang rumah ahli keluarga lain.

Tiada kerja tetap

Dia yang tidak mempunyai pekerjaan tetap hanya bergantung kepada upah diberi penduduk kampung hasil melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara keluargany­a.

Muhamad Fuzilah berkata, tiada bapa yang sanggup melihat anaknya terpaksa mengharung­i kesejukan setiap kali hujan lebat akibat terkena tempias air yang masuk melalui bumbung dan dinding pondok yang bocor.

“Setiap kali hujan, kami anak-beranak terpaksa berpindah tempat tidur kerana air hujan masuk di segenap penjuru pondok.

“Memang sedih melihat anak-anak yang basah terkena tempias air hujan, namun saya tetap bersabar dengan setiap ujian Allah ini,” katanya.

Bagi menjimatka­n wang, keluarga berkenaan juga menggunaka­n air bukit untuk memasak dan membasuh selain bergantung kepada bekalan elektrik daripada rumah jiran yang tinggal berdekatan.

Muhamad Fuzilah berkata, dia pernah memohon mendapatka­n bantuan perumahan, tetapi tidak tahu status permohonan­nya hingga kini.

“Saya akan berusaha mencari rezeki setiap hari bagi memastikan dapur berasap dan anak saya dapat ke sekolah kerana tidak mahu menjadikan kemiskinan sebagai alasan anak saya tercicir dalam pelajaran.

“Saya akan pastikan anak saya yang sedang belajar di Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang ke sekolah setiap hari seperti murid yang lain,” katanya.

 ?? [FOTO SAFURI KAMARUDIN/BH] ?? Muhamad Fuzilah bersama isteri dan dua anak menghuni pondok yang dibina menggunaka­n kayu hutan dan bahan terbuang di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, Baling.
[FOTO SAFURI KAMARUDIN/BH] Muhamad Fuzilah bersama isteri dan dua anak menghuni pondok yang dibina menggunaka­n kayu hutan dan bahan terbuang di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, Baling.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia