Berita Harian

Erra bantu tangani isu sakit mental

Dekati masyarakat beri kesedaran kes kemurungan

- Oleh Zaidi Mohamad

Meniti dugaan hidup sebagai insan seni yang sering menerima limpahan sorotan umum, Erra Fazira tidak menafikan, dirinya pernah lemah dengan ujian yang datang. Pelbagai isu menghimpit diri, malah kegagalan mempertaha­nkan dua perkahwina­nnya pernah mengheret wanita berusia 44 tahun itu dalam masalah kemurungan.

Pernah suatu ketika, kata Erra, dia mengurung diri selama seminggu kerana bimbang berdepan pelbagai pandangan negatif masyarakat. Apa yang dimahukan Erra ketika itu, hanya ruang untuk diri sendiri, tanpa perlu campur tangan pihak luar.

Namun, katanya, dia mula menyedari seperti ada yang tidak kena dengan tindakanny­a. Erra mula bertanya kepada dirinya, sampai bila dia harus meratapi takdir yang tertulis? Bertitik tolak dari situ, anak kelahiran Sungai Choh, Rawang, Selangor itu belajar untuk menerima ketentuan takdir dengan reda.

Berlapang dada hadapi dugaan

“Saya perlu bangkit berjuang, bukan untuk orang lain, tetapi diri sendiri. Jika saya tidak kuat, siapa lagi yang akan bantu? Saya tidak boleh selamanya bergantung kepada orang lain? Tambahan pula, saya mempunyai tanggungja­wab terhadap anak dan keluarga.

“Kalau saya lemah dan tewas dengan dugaan, bagaimana nasib insan yang saya sayangi? Mereka masih memerlukan saya di sisi. Alhamdulil­lah, mungkin dugaan itu datang ketika saya sudah matang, membuatkan saya kuat.

“Lumrah hidup kita pasti diuji dan sebagai hamba Allah, saya belajar menerimany­a dengan berlapang dada. Berdasarka­n pengalaman sendiri, bukan sesuatu yang pelik jika melihat sesetengah artis muda dan kurang pengalaman hanyut dalam masalah hingga terjebak dalam pelbagai isu yang membimbang­kan,” katanya.

Berkongsi pengalaman hidupnya pada acara Stand In Solidarity For Mental Illness anjuran Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA) di Petaling Jaya, baru-baru ini, Erra berkata, dia banyak mendekatka­n diri kepada Allah ketika berdepan dugaan hebat.

“Selain itu, saya juga cuba mendapatka­n sokongan moral daripada insan terdekat. Bayangkan, ketika dibelenggu dugaan, saya perlu keluar bekerja dan berdepan masyarakat. Jika fizikal dan mental saya tidak kuat, mungkin saya akan hanyut dengan masalah sendiri.

“Sebagai pelakon, ada ketika kita terbawa-bawa dengan watak yang dimainkan. Saya juga pernah melalui tekanan, namun syukur kerana ia belum mencapai tahap serius. Justeru, apabila melihat artis baharu seperti Haqiem Rusli yang berdepan masalah kemurungan, ia bukan sesuatu yang pelik.

“Bayangkan budak kecil juga boleh murung jika sering dimarahi ibu bapa, inikan pula remaja yang sudah mula faham dengan kehidupan. Masalah mental ini menyerang tanpa mengira peringkat usia dan kita perlu berusaha mencari jalan untuk mengatasin­ya.

“Masyarakat juga perlu membuka mata terhadap isu ini dan jangan sewenang-wenangnya menjatuhka­n hukuman. Setiap individu melihat dan menyelesai­kan masalah dengan cara berbeza. Tidak semua kita mempunyai kekuatan yang sama ketika bertarung dengan masalah,” katanya.

Usah hentam membuta-tuli

Tambah Erra, perkembang­an media sosial turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berkomunik­asi tanpa sempadan, sekali gus menambahka­n beban yang ditanggung. Andai dahulu, ketika mendaki era kemuncak, Erra hanya perlu berdepan komen dan kritikan wartawan, tetapi kini semua pihak berpeluang meluahkan pendapat mereka.

“Mereka bebas menghentam dan mengecam, malah ada yang sanggup membuat akaun palsu untuk memuaskan hati. Buli siber sudah menjadi perkara biasa. Bayangkan artis yang baru bertapak sudah terasa bahangnya dan jika tidak dikawal, kemurungan mereka akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan­nya sebagai sukarelawa­n MIASA dalam memberikan kesedaran terhadap masalah penyakit mental, Erra berkata, ia penting kepada masyarakat untuk memahami perkara itu secara menyeluruh.

“Saya sedih apabila masyarakat yang tidak faham menghentam membuta-tuli, lantas menjadikan keadaan lebih rumit. Hal seperti ini menyukarka­n pesakit untuk tampil mendapatka­n bantuan. Atas kesedaran itu, saya mahu masyarakat tahu perkara ini bukan sesuatu yang boleh diambil mudah dan ia bukan hanya masalah individu,” katanya.

Shahir bukan umpan publisiti

Sementara itu, Erra menegaskan, dia tidak berniat untuk mencipta sensasi apabila mengundang juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir Zawawi menghiburk­an pesakit di Wad Psikiatri dan Pusat Kesihatan Mental (Mentari), Hospital Selayang, baru-baru ini.

Erra sebaliknya berkata, pembabitan Shahir pada acara itu adalah secara kebetulan kerana mempunyai kelapangan masa untuk menjayakan­nya.

“Selain Shahir, saya turut mengundang beberapa kawan rapat lain untuk bersama-sama. Saya bangga apabila dia sudi melapangka­n masa untuk acara murni. Rasanya tiada apa yang perlu dipertikai­kan kerana kami membuat perkara yang elok.

“Sebagai insan, selagi dapat membantu kepada perkara yang baik, saya akan cuba lakukan. Saya langsung tidak terfikir untuk sengaja mencari publisiti kerana niat saya cuma satu, memberi kesedaran terhadap penyakit mental,” katanya.

Masyarakat juga perlu membuka mata terhadap isu ini dan jangan sewenang-wenangnya menjatuhka­n hukuman. Setiap individu melihat dan menyelesai­kan masalah dengan cara berbeza. Tidak semua kita mempunyai kekuatan yang sama ketika bertarung dengan masalah”

 ??  ??
 ??  ?? Erra dan Haqiem Rusli bersama pengasas MIASA, Anita Abu Bakar, Timbalan Presiden, Mohd Noor Deros serta Penasihat, Dr Hazli Zakaria pada sidang media Stand in Solidarity for Mental Illness.
Erra dan Haqiem Rusli bersama pengasas MIASA, Anita Abu Bakar, Timbalan Presiden, Mohd Noor Deros serta Penasihat, Dr Hazli Zakaria pada sidang media Stand in Solidarity for Mental Illness.
 ?? [ FOTO AZIAH AZMEE AZIZ/BH ] ??
[ FOTO AZIAH AZMEE AZIZ/BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia