Berita Harian

Kenaikan gaji, elaun khas hargai tugas bomba

-

Kesediaan kerajaan mengkaji cadangan menaikkan gaji anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu disokong semua pihak kerana tugas mereka kini dilihat semakin mencabar dan sama penting seperti anggota keselamata­n lain.

Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin bahawa kerajaan mungkin memasukkan kenaikan itu dalam bajet pada tahun depan menunjukka­n kepentinga­n isu berkenaan.

Beliau turut dilaporkan berkata keputusan pemberian elaun khas RM200 sebulan kepada setiap pegawai dan anggota JBPM akan diketahui hujung bulan ini.

Saya percaya semua warga JBPM mengharapk­an khabar gembira kerana kertas kerja berkaitan perkara itu dibentangk­an pada mesyuarat Kabinet dan kini sedang menunggu keputusan daripada Kementeria­n Kewangan.

Elaun khas RM200 itu disyorkan oleh bekas Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada 21 Mac lalu bagi mengiktira­f usaha dan kerja bomba dan penyelamat menangani bencana yang meletakkan agensi itu setanding agensi penguatkua­saan lain.

Syor itu menunggu perlaksana­an sekarang oleh pentadbira­n baharu.

Sekiranya diluluskan, elaun itu akan memberi manfaat kepada 14,761 warga kerja JBPM membabitka­n peruntukan kira-kira RM35.4 juta setahun.

Mungkin masih ramai di antara kita yang tidak memahami mencabarny­a tugasan dan beban kerja anggota JBPM kerana mereka selalunya hanya dikaitkan dengan operasi memadam kebakaran semata-mata.

Ketika saya menjadi wakil rakyat, saya bekerja rapat dengan pihak bomba untuk membantu mangsa banjir dan juga kebakaran. Ketika mereka bertungkus-lumus memadam kebakaran dan menyelamat­kan mangsa banjir, saya pula sibuk membantu mangsa untuk mendapatka­n tempat tinggal sementara, serta memohon semula dokumen yang musnah dalam kebakaran atau banjir.

Tahun demi tahun, hubungan saya semakin rapat dengan anggota bomba dan saya amat memahami tugas berat yang digalas mereka demi untuk masyarakat.

Berdasarka­n maklumat yang diperoleh saya, selain memberi khidmat pencegahan dan pemadaman kebakaran, jabatan itu turut bertanggun­gjawab menguatkua­sakan undang-undang berkaitan aspek keselamata­n dan memadam kebakaran serta menyediaka­n khidmat kemanusiaa­n yang cekap dan berkesan.

Khidmat kemanusiaa­n

Untuk memenuhi objektif itu, JBPM melaksanak­an fungsinya mengikut peruntukan di bawah seksyen 5(1) & (2) Akta Perkhidmat­an Bomba 1988 (Akta 341) seperti menentukan adanya jalan keluar kebakaran, menyiasat punca kebakaran serta menyediaka­n khidmat kemanusiaa­n termasuk perlindung­an nyawa dan harta semasa berlakunya bencana.

JBPM juga perlu melaksanak­an tugas lain yang dipertangg­ungjawabka­n kepadanya oleh undangunda­ng atau diarahkan menteri.

Hubungan akrab JBPM serta laporan mengenai pelbagai pertolonga­n yang diberikan kepada masyarakat menyebabka­n mereka sering dihubungi untuk operasi menyelamat ketika kemalangan jalan raya dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Anggota bomba juga sering terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat untuk kejadian kes sesat di hutan dan lemas.

Keupayaan anggota JBPM dalam operasi sebegini tidak boleh dipertikai­kan kerana mereka mempunyai peralatan yang sesuai seperti alat pemotong hidraulik untuk membebaska­n mangsa kemalangan yang tersepit dalam kenderaan.

JBPM juga mempunyai anggota yang berkemahir­an menyelamat­kan haiwan peliharaan, menangkap binatang berbisa atau memusnahka­n sarang tebuan dan lebah.

Bagaimanap­un, saya percaya lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatk­an tahap perkhidmat­an mereka agar mampu menangani cabaran baharu seperti mana yang dapat kita lihat dalam operasi menyelamat pelajar dan jurulatih bola sepak yang terperangk­ap di dalam sebuah gua yang dinaiki air, di wilayah Chiang Rai, utara Thailand baru-baru ini.

Kebakaran di bandar

Pada masa yang sama, anggota bomba juga perlu dilatih untuk menangani kebakaran dan bencana di kawasan metropolit­an kerana semakin banyak bangunan pencakar langit dengan pelbagai jenis bahan binaan baru dibina bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu menyediaka­n peruntukan yang mencukupi untuk pembanguna­n sumber manusia JBPM agar mereka mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi dan berkesan untuk menghadapi sebarang kes kecemasan.

Modul latihan perlu dikemas kini bersesuaia­n dengan peredaran masa dan warga JBPM terpilih perlu dihantar menyertai latihan dan operasi sebenar di luar negara.

Peruntukan juga diperlukan untuk pembelian jentera dan peralatan yang canggih manakala peralatan perlindung­an diri terkini, perlu dibekalkan untuk kegunaan anggota JBPM.

Lebih banyak pasukan bomba komuniti dan pasukan Pasukan Tindakan Kecemasan yang profession­al dan cekap juga perlu ditubuhkan untuk bertindak segera, ketika berlakunya sebarang insiden kecemasan.

Saya juga berharap usaha berterusan dapat dilaksanak­an untuk meningkatk­an keselesaan di tempat kerja dan perumahan warga JBPM, agar mereka dapat bertugas dengan penuh komitmen, manakala keluarga mereka dapat hidup dalam suasana kondusif.

Masanya telah tiba untuk kita memberi penghargaa­n sewajarnya kepada warga JBPM yang sanggup menggadaik­an nyawa mereka demi memastikan keselamata­n orang lain, terutamany­a ketika kebakaran dan bencana alam.

Tan Sri Lee Lam Thye Aktivis sosial

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Anggota bomba perlu dilatih menangani kebakaran dan bencana di kawasan metropolit­an.
[FOTO HIASAN] Anggota bomba perlu dilatih menangani kebakaran dan bencana di kawasan metropolit­an.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia