Berita Harian

Amerika lega Pyongyang roboh tapak ujian roket

-

Seoul: Korea Utara mula merobohkan beberapa kemudahan di stesen pelancaran satelit utama, dilihat sebagai tapak ujian peluru berpandu balistik antara benua, menurut analisis pakar terhadap imej satelit terbaharu.

Jika disahkan, analisis oleh laman web berpusat di Amerika Syarikat (AS), 38 North, mungkin memberi isyarat satu langkah ke depan selepas pertemuan bersejarah bulan lalu antara Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump, walaupun sesetengah pakar mempersoal­kan maksud isyarat itu.

Selepas pertemuan itu, Trump mengisytih­arkan ancaman nuklear Korea Utara berakhir dan laporan media AS mengatakan, beliau secara peribadi amat berang berhubung ketiadaan sebarang kemajuan berikutnya berkaitan isu gencatan senjata nuklear.

Bagaimanap­un Trump kekal yakin dan analisis 38 North dibuat ketika Presiden AS itu mengumumka­n dirinya ‘sangat gembira’ dengan cara rundingan berkembang bersama Pyongyang.

Laman web itu berkata, imej dirakam menunjukka­n Pyongyang mula merobohkan dinding pemprosesa­n dan penyangga enjin roket ujian yang digunakan untuk menguji enjin bahan api cecair di Stesen Pelancaran Satelit Sohae.

Sohae, terletak di pantai barat laut Korea Utara, jelasnya kemudahan direka untuk meletakkan satelit ke orbit, namun enjin roket dengan mudahnya digunakan semula bagi kegunaan peluru berpandu dan masyarakat antarabang­sa melabel program angkasa lepas Pyongyang sebagai pemangkin kepada ujian senjatanya.

“Ia adalah tanda lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Saya percaya, mereka melangkah secara berperingk­at ke arah gencatan senjata nuklear,” kata timbalan pengarah pejabat keselamata­n presiden, Nam Gwan-pyo.

Seorang sekutu kanan penyelidik­an dengan Pusat Kajian Pencegahan Senjata James Martin di Monterey, AS, Melissa Hanham berkata, ketika usaha merobohkan tapak ujian enjin adalah ‘langkah yang bagus,’ ia bersamaan ‘tindakan amat minimum’ yang boleh dilakukan di Sohae.

“Kecuali mereka merobohkan keseluruha­n tapak itu, ia masih menjadi lokasi utama Korea Utara untuk pelancaran angkasa lepas,” kata Hanham di Twitter. AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia