Berita Harian

Thanabalan kesal gagal selamatkan NS

- Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyerang muda Negeri Sembilan, N Thanabalan, akui terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan itu kekal dalam Liga Super musim depan selepas dikecewaka­n Kuala Lumpur, 1-2, pada perlawanan penentuan, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Ahad lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu yang tidak beraksi pada perlawanan berkenaan kerana kurang cergas, mengakui prestasi dan pencapaian skuad Hobin Jang Hobin musim ini tidak seperti yang diharapkan oleh peminat.

“Kami sedar pencapaian pasukan musim ini tidak seperti yang diharapkan apabila gagal mengekalka­n kedudukan dalam Liga Super bagi musim depan.

“Saya dan rakan-rakan akui kecewa dengan pencapaian itu, namun kami sudah berusaha dan mencuba sebaik mungkin bagi mempertaha­nkan maruah pasukan, tetapi tidak berjaya.

“Secara peribadi, saya mohon maaf kepada peminat dan akan meneruskan perjuangan bagi menghadapi perlawanan terakhir liga menentang Melaka United, hujung minggu ini,” katanya di sini, semalam.

Negeri Sembilan bakal kembali bersaing dalam Liga Perdana musim depan selepas berada dalam kedudukan dua pasukan tercorot carta liga musim ini, walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Buru slot Piala Malaysia

Pasukan itu yang sebelum ini beraksi dalam Liga Perdana selama empat musim berturut-turut sejak 2014, kembali ke Liga Super musim ini atas sebab kelulusan lesen Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan bukannya dari segi merit.

Namun, ternyata peluang itu gagal dimanfaatk­an oleh barisan pemain skuad berkenaan apabila mereka sekadar meletakkan pasukan terbabit pada kedudukan dua pasukan tercorot carta.

Thanabalan yang kembali bersama skuad Rusa selepas menyertai FELCRA FC musim lalu berkata, fokusnya kini adalah untuk kembali mendapatka­n tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi pertembung­an dengan Melaka United, di gelanggang sendiri, Sabtu ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia