Berita Harian

Undian semula jadi misteri

Penganjur terus rahsia format undian cetus bimbang Kim Swee

- Oleh Aziman Rosdi

Undian semula acara bola sepak Sukan Asia hari ini jelas menimbulka­n pelbagai persoalan apabila pihak Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankua­sa Penganjura­n Sukan Asia Indonesia (INASGOC) terus berahsia mengenai format yang akan digunakan.

Setakat ini, maklumat yang pasti adalah undian semula itu dilakukan kerana mahu memasukkan dua pasukan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin yang tercicir pada undian awal di Jakarta, 5 Julai lalu.

Menurut jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee, beliau tidak dimaklumka­n secara terperinci mengenai undian semula itu sama ada ia membabitka­n semua 26 pasukan atau hanya dua pasukan berkenaan.

“Saya tidak tahu mengenai undian semula itu, saya juga tidak pasti sama ada perlu hadir atau tidak ke majlis undian itu. Kita akur dengan keputusan pihak tuan rumah untuk mengadakan undian semula sama ada ia membabitka­n semua pasukan atau UAE dengan Palestin saja,” katanya semalam.

Laluan lebih getir

Berdasarka­n laporan www.xinhuanet.com, selepas undian semula itu, Kumpulan A, C D dan F akan mempunyai empat pasukan manakala Kumpulan B dan E lima pasukan.

Jika undian semula itu hanya membabitka­n UAE dan Palestin, ia pasti memberi perkhabara­n buruk buat Malaysia yang kini berada dalam Kumpulan E bersama juara bertahan Korea Selatan, Kyrgyzstan dan Bahrain.

Jika itu berlaku, penambahan perlawanan dengan kemasukan pasukan UAE atau Palestin bakal memberi laluan lebih perit buat anak buah Kim Swee yang mensasarka­n untuk mara ke suku akhir.

Adalah lebih adil untuk undian semula membabitka­n semua pasukan dilakukan namun Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) yang ditugaskan untuk melaksanak­an majlis itu esok turut tidak mendapat sebarang maklumat mengenai formatnya.

“Setakat ini AFC masih menunggu surat mengenai format undian daripada OCA,” jelas Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John ketika dihubungi.

Saingan bola sepak Sukan Asia Indonesia dijadual bermula pada 14 Ogos.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia