Berita Harian

Tiga gadis ting-ting aktif perangkap mangsa ditahan

Kumpulan konon tawar khidmat urut, seks dipercayai terbabit kes curi

- Oleh Junaidi Ladjana

Tiga gadis bawah umur dan seorang wanita berusia 32 tahun ditahan kerana dipercayai aktif memerangka­p mangsa dengan kononnya menawarkan khidmat urut dan seks di sekitar bandar raya ini.

Semua gadis dikenali sebagai ‘gadis ting-ting’, membabitka­n remaja berusia semuda 14 tahun, dua lagi berusia 17 tahun serta seorang wanita dewasa itu ditahan di dua hotel di bandar raya ini oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, antara jam 4 hingga 6.30 pagi kelmarin.

Hasil serbuan itu, polis turut menahan enam lelaki disyaki terbabit dengan kegiatan berkenaan yang dibongkar susulan laporan daripada seorang mangsa yang ditipu oleh semua suspek terbabit, pada Ahad lalu.

Guna aplikasi Wechat

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata berdasarka­n laporan itu, mangsa berumur 30 tahun menemui dua lelaki tidak dikenali untuk mendapatka­n khidmat urut yang ditempah melalui aplikasi Wechat.

“Ketika itu, mangsa menemui dua lelaki di sebuah hotel dan suspek bagaimanap­un mengambil telefon bimbitnya sebelum melarikan diri.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Chandra berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu di sebuah hotel pada jam 4 pagi, kelmarin.

“Hasil soal siasat terhadap suspek itu, polis kemudian menyerbu sebuah bilik di hotel itu dan menahan dua wanita serta dua lelaki dan menemui barang disyaki dicuri.

“Siasatan lanjut membolehka­n seorang lagi suspek ditahan di kawasan parkir di hotel berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pada jam 6.30 pagi hari sama, polis menyerbu pula sebuah hotel berdekatan dan menahan dua wanita dan dua lelaki disyaki suspek dalam kes pada Ahad lalu, bersama beberapa barang diper- cayai dicuri.

Katanya, semua suspek mengaku terbabit dalam kes itu dan mereka didapati kumpulan yang aktif melakukan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini di sekitar bandar raya ini.

“Kumpulan itu akan menggunaka­n suspek wanita dan cuba memerangka­p mangsa lelaki melalui aplikasi Wechat dan Beetalk untuk tujuan urut dan mengadakan hubungan seks.

“Selepas itu, suspek wanita akan meminta mangsa ke mana-mana hotel di sekitar bandar raya dan membuat bayaran kepada suspek lelaki.

Ugut mangsa

“Ketika berada di dalam bilik, suspek lelaki akan merempuh masuk dan mengugut mangsa sebelum melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mangsa,” katanya.

Chandra berkata, hasil pendedahan lanjut, semua suspek didapati terbabit dalam pelbagai kes seumpama itu sejak awal tahun ini dan mengaut hasil dengan menjual barang milik mangsa.

“Soal siasat masih diteruskan dan empat daripada suspek itu didapati positif dadah. Selain itu, empat daripada suspek juga mempunyai rekod berkaitan dadah dan ada antara mereka masih dibicara di mahkamah.

“Semua tangkapan empat wanita dan enam lelaki berusia 14 hingga 35 tahun kini direman untuk siasatan lanjut. Polis merampas 10 telefon bimbit, beberapa dompet, beg duit, topeng dan sebilah pisau,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

 ?? [ FOTO IHSAN POLIS ] ?? Polis berjaya merampas beberapa barang daripada aktiviti menawarkan khidmat urut dan seks di sekitar Kota Kinabalu.
[ FOTO IHSAN POLIS ] Polis berjaya merampas beberapa barang daripada aktiviti menawarkan khidmat urut dan seks di sekitar Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia