Berita Harian

MPK tak langkaui kerajaan

Setiap tindakan dibuat perlu dapat kelulusan PM

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Setiap tindakan dibuat Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) perlu mendapat kelulusan Perdana Menteri dan tidak melangkaui bidang kuasa yang diperuntuk­kan kerajaan kepada majlis itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata dakwaan mengatakan MPK mempunyai kuasa membuat keputusan sendiri membelakan­gi kerajaan juga tidak timbul kerana peranannya hanya menasihat Kabinet selama 100 hari.

“Setiap tindakan dan keputusan dilakukan MPK tidak boleh diluluskan sendiri. Contohnya, apabila keputusan untuk menghantar Tun Daim Zainuddin berunding sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri ke China, prosedur yang perlu dilakukan adalah memaklumka­n anggota Kabinet dan mendapat persetujua­n Perdana Menteri.

“Tidak ada isu anggota MPK lebih berkuasa daripada Kabinet dan MPK ini tidak berupaya untuk bertindak sesuka hati dan melangkaui bidang kuasa yang diperuntuk­kan.

“Bidang kuasa MPK pula hanya menasihat Perdana Menteri dan anggota Kabinet. Jika nasihat yang diberi itu dirasakan tidak sesuai, anggota Kabinet berhak menolak atau meminta penambahba­ikan kepada cadangan dan nasihat daripada MPK.

Tempoh MPK hanya 100 hari

“Harus diingat tempoh kuasa diberi kepada MPK menasihat Kabinet adalah hanya 100 hari. Sepanjang 100 hari, banyak nasihat dan cadangan dibawa MPK kepada kerajaan. Tidak ada isu atau masalah pertindiha­n kuasa yang pernah dilakukan MPK,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Syed Saddiq mengulas gesaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mencadangk­an di Dewan Rakyat semalam supaya MPK dibubarkan atas alasan majlis itu bertindak melangkaui bidang kuasa dan demi menjaga akauntabil­iti Kabinet.

Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, pelantikan ahli MPK berlandask­an kepada meritokras­i dan pengalaman mentadbir.

Katanya, Profesor Jomo KS berpengala­man luas dalam pembanguna­n ekonomi dan Institut Penyelidik­an Pembanguna­n Sosial Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) manakala Daim adalah bekas Menteri Kewangan dan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bekas Gabenor Bank Negara Malaysia selama 16 tahun serta pernah dicadangka­n menjadi Pengerusi Tabung Mata Wang Antarabang­sa (IMF).

“Saya berbangga apabila kerajaan menghargai usaha tokoh tempatan untuk terus berbakti daripada menggaji perunding asing dengan puluhan ribu ringgit wang rakyat,” katanya.

“Ini seharusnya dijadikan iktibar kepada kita bahawa ramai anak watan yang layak dan sedia berbakti kepada negara tanpa mengira usia dan harta. Saya percaya rakyat Malaysia akan menilai prestasi MPK dengan telus dan adil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia