Berita Harian

‘Usah politikkan siapa dipilih wakil kerajaan’

-

Klang: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan isu beliau tidak dihantar menjadi wakil kerajaan untuk berunding di China tidak sepatutnya timbul dan dipolitikk­an pihak tertentu.

Ia berikutan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin dipilih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai utusan khas bagi membincang­kan hal khusus dengan republik itu.

Saifuddin berkata, Wisma Putra sememangny­a dimaklumka­n mengenai pertemuan itu sebelum pemergian Tun Daim dan turut diberikan taklimat sejurus kepulangan beliau ke negara ini.

“Beliau (Khairy Jamaluddin) yang pernah berkhidmat dalam kerajaan sepatutnya faham akan tugasan utusan khas sesebuah negara.

“Tun Daim dihantar ke China oleh Perdana Menteri bagi membincang­kan perkara khusus antara kedua-dua negara dan ia tugas lazim bagi utusan berkenaan.

“Tidak timbul isu saya sebagai Menteri Luar atau mana-mana menteri tidak dihantar kerana ia adalah arahan pemimpin negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Taman Sri Andalas, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Tak boleh dedah

Ditanya mengenai mandat yang diberikan kepada Daim, kata Saifuddin, beliau tidak dapat mendedahka­n perkara berkenaan.

“Namun, ia antaranya berkaitan projek yang dimeterai antara China dan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

“Selain itu, ia membabitka­n jalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terutama Malaysia yang kini ditadbir oleh Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Saifuddin berkata, MPK tidak semestinya dibubarkan selepas 100 hari penubuhann­ya.

Beliau berkata, keputusan mengenainy­a adalah prerogatif Dr Mahathir.

“Itu terpulang kepada Perdana Menteri. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menyatakan MPK hanya akan berfungsi selama 100 hari.

Saifuddin berkata, MPK dibentuk oleh Perdana Menteri berdasarka­n terma rujukan spesifik.

“Terpulang kepada Perdana Menteri dan Kabinet mengambil tindakan terhadap cadangan yang dikemukaka­n,” katanya.

Bukan kesalahan

Beliau juga tidak melihat tindakan menghantar Daim berunding sebelum lawatan rasmi Dr Mahathir ke China sebagai kesalahan.

“Bukan satu kesalahan untuk Perdana Menteri menghantar utusan khas ke China, dengan terma rujukan khusus yang melapor terus kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, Wisma Putra bertemu dengan Daim sebelum dan selepas beliau ke China, selain berkongsi laporan mengenainy­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia