Berita Harian

‘Dakwaan terbabit LTTE palsu, sengaja putar belit isu’

-

Georgetown: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, sekali lagi menafikan dakwaan bahawa beliau terbabit menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka.

Ramasamy berkata, dakwaan berkenaan adalah palsu dan sengaja dibuat bagi mengapi-apikan isu selepas beliau mengeluark­an kenyataan terhadap penceramah terkemuka, Dr Zakir Naik.

“Walaupun kenyataan saya ini berdasarka­n fakta, terdapat beberapa pihak sengaja memutarbel­itkan isu ini bagi mengalihka­n fokus rakyat daripada isu yang sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, dakwaan itu bermula apabila beliau dilantik sebagai ahli perunding dalam proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan kumpulan LTTE pada 2003.

Beliau berkata, pelantikan itu berikutan kedudukann­ya sebagai pensyarah dalam bidang Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabang­sa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, selama 26 tahun.

“Saya dipanggil dalam usaha perdamaian di persada antarabang­sa kerana pengetahua­n saya dalam bidang politik antarabang­sa dan pengurusan konflik.

“Bagaimanap­un, usaha perdamaian di Sri Lanka itu tidak berhasil dan perang diteruskan sehingga LTTE dihapuskan sepenuhnya pada Mei 2009,” katanya.

Dipilih jadi orang tengah

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, selain menjadi perunding antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE, beliau juga pernah dipilih menjadi orang tengah antara kerajaan Indonesia dengan Gerakan Acheh Merdeka (GAM), sehingga diberi penghormat­an oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Katanya, beliau juga pernah terbabit secara sementara dalam proses perdamaian konflik di Mindanao, Filipina, selain turut menyokong perjuangan Palestine Liberation Organisati­on (PLO).

“Pada pandangan saya, semua organisasi ini bukan pengganas, tetapi pejuang kebebasan rakyat tertindas kerana perjuangan mereka mempunyai makna yang tersendiri dan bertujuan mengakhiri penindasan rakyat di tempat masing-masing.

Pegang teguh prinsip perdamaian

“Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya adalah seorang yang berpegang teguh kepada prinsip perdamaian dan tidak langsung menyokong kepada perang dan senjata,” katanya.

Kelmarin, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan meminta Ramasamy memberi penjelasan berhubung dakwaan yang mengaitkan­nya dengan kumpulan LTTE.

Kon Yeow pada sidang akhbarnya semalam berkata, beliau sudah menerima penjelasan daripada Ramasamy dan berharap perkara itu dapat diselesaik­an bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia