Berita Harian

Pertemuan tertutup Ramasamy, Asri

-

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata persetujua­n diperoleh daripada kedua-dua pihak, manakala beliau akan bertindak sebagai orang tengah dalam perbincang­an terbabit.

Katanya, pertemuan itu antara lain akan membincang­kan isu tuduhan kaitan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Pertemuan tertutup ini akan diadakan di pejabat saya di Putrajaya secepat mungkin.

“Pelbagai tuduhan timbul di media sosial dan wujud keperluan untuk diadakan perbincang­an dalam kalangan mereka terbabit.

“Maklum balas terkini menyatakan kedua-duanya bersetuju untuk bertemu, manakala saya menjadi orang tengah.

“Pertemuan akan diadakan secara tertutup selepas mengambil kira keburukan yang boleh timbul jika dibuat dengan terbuka,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Cari penyelesai­an

Mujahid berkata, keutamaan semua pihak ialah mencari penyelesai­an dalam suasana harmoni, sekali gus mengakhiri segala tuduhan liar.

Katanya, pelbagai spekulasi akan dibangkitk­an selagi mereka tidak berbincang dan menyelesai­kan persoalan yang timbul.

“Prof Ramasamy rakan saya dan beliau berperanan besar dalam membantu usaha perdamaian di Acheh,” katanya.

Kelmarin, Mohd Asri dilaporkan meminta DAP menyatakan pendirian parti itu terhadap Ramasamy yang dikaitkan dengan kegiatan kumpulan pengganas LTTE.

Jumaat lalu, Ramasamy menafikan pembabitan­nya dengan LTTE, sebaliknya cuma dilantik sebagai perunding proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE pada 2003 atas kapasiti Pensyarah Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabang­sa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia