Berita Harian

Lokman kritik pemilihan Ustaz Zawawi

-

Shah Alam: Pemilihan calon berlatarbe­lakangkan agama mewakili PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis didakwa untuk meredakan kemarahan orang Melayu dan Islam terhadap Pakatan Harapan (PH).

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, mendakwa pemilihan pengetua Maahad Tahfiz, Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon PKR, sematamata untuk meredakan kemarahan orang Islam dan Melayu.

PKR bimbang hilang undi

Katanya, PKR bimbang akan kehilangan undi orang Melayu berikutan beberapa isu kontrovers­i membabitka­n hal ehwal Islam dalam pentadbira­n Kerajaan PH.

“Ia sekadar meraih undi orang Islam di Sungai Kandis. Namun hakikatnya nasib institusi Islam seperti pusat tahfiz dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semakin tidak menentu.

“Begitu juga dengan isu institusi beraja, nampaknya rakyat semakin bebas tanpa rasa takut memperleke­hkan Yang di-pertuan Agong,” katanya ditemui pemberita di Command Center BN DUN Sungai Kandis di sini, semalam.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz berdaftar menerima pelbagai manfaat ketika era pentadbira­n BN.

“Dahulu Kerajaan BN menyalurka­n bantuan berpuluh-puluh juta bagi menyelengg­ara sekolah agama. Malah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) juga diwujudkan bagi melonjakka­n lagi kualiti pelajar tahfiz.

“Calon PKR amat dekat dengan institusi tahfiz dan saya yakin beliau sedar sumbangan Kerajaan BN sebelum ini. Ia berbeza sama sekali dengan kerajaan baharu yang dilihat bersikap sambil lewa menjaga institusi Islam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia