Berita Harian

Karisma Anwar atau potensi Azmin jadi penentuan

-

Proses pemilihan kepemimpin­an PKR yang akan bermula akhir bulan ini bukan sahaja dinanti-nantikan ahli parti itu, malah juga ditunggu-tunggu penuh minat oleh semua pihak.

Ia juga bakal mencipta sejarah tersendiri kerana kali pertama pengundian dibuat dalam talian menerusi sistem e-voting, setanding pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang menggunaka­n sistem sama, dua tahun lalu.

Sesuatu yang menarik mengenai e-voting, proses pengiraan undi akan dilakukan secara automatik dalam sistem dan keputusan penuh akan diumumkan Jawatankua­sa Pemilihan PKR selepas proses mengundi selesai.

Bagi pemilihan kali ini, walaupun mandat penyandang setiap jawatan dalam parti berkenaan sah sehingga 22 Februari tahun depan, proses mencari kepemimpin­an baharu dilakukan lebih awal yang akan membabitka­n lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.

Pemilihan akan bermula dengan penamaan calon pada 27 hingga 29 Julai ini, sebelum pengundian selama sembilan minggu bermula 24 Ogos dan keputusan akan diumumkan ketika Kongres Nasional PKR pada November depan.

Paling menarik perhatian pada pemilihan kali ini adalah pengumuman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan Presiden yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak kirakira 20 tahun lalu.

Wan Azizah yang dilihat cemerlang memimpin sehinggaka­n PKR berjaya memperoleh 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14, lebih awal menyatakan kesediaann­ya memberi laluan kepada Anwar untuk menerajui parti terbabit.

Malah, beliau dilaporkan berkata, tidak akan terkesan jika tidak mempertaha­nkan jawatan Presiden parti kerana masih memiliki jawatan dalam Pakatan Harapan (PH), selain kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Berpotensi dicabar anak didik

Namun, ada pihak menjangkak­an Anwar tidak akan ‘dihadiahka­n’ jawatan tertinggi parti, sebaliknya berpotensi dicabar terutama oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, anak didiknya sendiri.

Walaupun belum membuat keputusan rasmi kerana sibuk dengan tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, pemerhati politik berpendapa­t ia sekadar alasan Azmin untuk mencuri masa bagi mencongak peluangnya dan menilai sama ada mempunyai sokongan akar umbi parti bagi mencabar Anwar.

Petunjuk yang menyokong desas-desus Azmin akan bertanding jawatan presiden datang dari ‘kem’ bekas Menteri Besar berkenaan sendiri, paling ketara adalah kenyataan Ketua Wanita PKR merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang dilihat sebagai penyokong setia Azmin dilaporkan berkata, PKR perlu bersedia untuk tidak menghalang sesiapa pun bertanding sebarang jawatan termasuk presiden, seolah-olah gambaran mahu melihat Anwar dicabar.

Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang pada masa sama sempat menyorot kejayaan kepemimpin­an Azmin ketika menerajui Kerajaan Selangor sebelum ini.

Mereka yang menyokong Azmin pasti mahu melihat beliau mengambil alih kepemimpin­an tertinggi parti yang akan membolehka­n Ahli Parlimen Gombak itu melonjak lebih jauh dalam karier politiknya, disokong pula jawatan senior disandangn­ya dalam kerajaan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.”

Dalam usia jauh lebih muda berbanding Anwar, Azmin pasti mahu mengukuhka­n kedudukann­ya dalam persada politik negara selepas cukup setia dengan perjuangan PKR, melalui pelbagai ranjau dan duri sepanjang memperjuan­gkan reformasi dan menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri.

Persoalann­ya, sebagai ‘anak didik’ Anwar, adakah bekas Menteri Besar Selangor itu sanggup mencabar ‘sifu’ beliau dan adakah kenyataan Setiausaha Politik Azmin, Muhammad Hilman Idham bahawa bosnya tidak akan menentang Anwar akan menjadi kenyataan?

Penting bagi Anwar untuk menjadi Presiden PKR kerana akan memudahkan laluan beliau menjadi Perdana Menteri menggantik­an Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding kedudukann­ya ketika ini di luar Kabinet dan bukan sebagai Ahli Parlimen.

Oleh yang sedemikian, langkah pertama harus diambil beliau adalah memegang tampuk kepemimpin­an PKR yang dilihat sebagai tulang belakang PH dan kemudian bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya kecil.

Naib Presiden PKR, Tian Chua jelas menyokong Anwar sebagai peneraju parti apabila berpendapa­t sudah tiba masanya bekas Timbalan Perdana Menteri itu diangkat menjadi presiden, sekali gus mengembali­kan haknya yang dinafikan.

Sanjungan Tian Chua dilihat sebagai simbolik sokongan reformis dalam PKR terhadap karisma Anwar yang sekian lama menjadi ikon menyatukan ahli parti berkenaan, melakukan banyak pengorbana­n dan melalui pelbagai penderitaa­n kerana berulang kali dipenjarak­an.

Tunggu November

Jawatan tinggi lain yang diramal bakal menyaksika­n persaingan sengit adalah Naib Presiden PKR walaupun setakat ini, hanya Penasihat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyatakan hasratnya merebut jawatan itu.

Johari yang sebelum ini menolak tawaran menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana ingin memberi perhatian kepada tugas selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, yakin dengan peluangnya memenangi jawatan ketiga tertinggi dalam hierarki parti berdasarka­n sokongan yang diterima.

Tokoh lain dijangka menawarkan diri bertanding jawatan sama walaupun belum membuat pengumuman rasmi adalah Zuraida, selain penyandang jawatan naib presiden seperti Nurul Izzah Anwar, Tian Chua, Rafizi Ramli dan Shamsul Iskandar Mohd

Akin.

Ada juga kemungkina­n pemimpin kanan lain seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Sekretaria­t PH merangkap Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar turut menawarkan diri merebut jawatan naib presiden.

Bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, dijangka muka baharu seperti Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan timbalanny­a, Dr Afif Bahardin akan mencuba nasib, selain muka lama mempertaha­nkan jawatan seperti Ahli MPP, Latheefa Koya; Khalid Jaafar dan Elizabeth Wong.

Sama ada berlaku pertanding­an bagi semua jawatan utama, jawapannya akan diketahui selepas 29 Julai ini apabila mereka yang berminat bertanding, mula mencalonka­n diri.

Sama ada Anwar bakal dinobatkan selaku presiden parti yang diasaskann­ya 19 tahun lalu atau terpaksa bersaing dengan pemimpin lain, sama-sama kita tunggu jawapannya pada pemilihan November nanti.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia