Berita Harian

Caruman SIP PERKESO kutip RM260.9 juta

-

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) merekodkan kutipan caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjumlah RM260.9 juta atau RM43.5 juta sebulan setakat 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Tenaga Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata SIP yang diwujudkan pada 1 Januari lalu bertujuan membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan.

Beliau berkata, untuk layak menuntut caruman dana SIP, pencarum perlu membuat 12 kali caruman mulai 1 Januari lalu dengan tuntutan faedah penuh paling awal bermula 1 Januari tahun depan.

“Setakat 20 Julai lalu, PERKESO menerima sebanyak 10,445 permohonan bantuan interim (berdasarka­n tuntutan bulan pertama).

“Bayaran bantuan interim adalah RM600 sebulan untuk maksimum tiga bulan dan bagi tempoh sama, PERKESO sudah membayar RM6.39 juta kepada pekerja yang disahkan hilang pekerjaan dan layak menerima bantuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Menara PERKESO di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi PERKESO, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, dan Ketua Pegawai Eksekutif agensi berkenaan Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Industri tertinggi hilang pekerjaan

Mahfuz berkata, maklumat permohonan berkenaan menunjukka­n sektor perkilanga­n adalah kategori industri tertinggi kehilangan pekerjaan, iaitu 3,556 orang atau 34 peratus, diikuti sektor kewangan, 1,294 orang (12.4 peratus) serta hotel dan restoran, 819 orang (7.8 peratus).

“Bagi kategori pekerjaan, perkerania­n dan pekerja sokongan paling tinggi hilang pekerjaan iaitu 1,969 orang atau 18.9 peratus, diikuti perkhidmat­an dan jualan, 1,962 orang (18.8 peratus) dan profesiona­l, 1,617 (15.5 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, statistik juga menunjukka­n pekerja bergaji bulanan RM2,000 ke bawah paling ramai kehilangan pekerjaan, iaitu sebanyak 4,826 orang atau 46.3 peratus berbanding mereka bergaji RM10,000 ke atas hanya seramai 401 orang atau 3.8 peratus.

Katanya, dari segi umur, 31.3 peratus mereka yang kehilangan pekerjaan berusia 46 tahun ke atas.

14,201 permohonan bantuan interim,

“Kita menerima keseluruha­n 14,201 permohonan bantuan interim, namun hanya 10,681 orang layak menerima bantuan. Bakinya ditolak kerana kehilangan pekerjaan yang berlaku pada 2017, iaitu sebelum Akta 800 dikuatkuas­akan dan juga pekerja berhenti kerja secara sukarela,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Mahfuz menyeru rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan supaya tampil memohon bantuan interim secara dalam talian di www.perkeso.gov/sip atau hadir ke 53 pejabat PERKESO berdekatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia