Berita Harian

Kerajaan tiada kuasa urusan RUU 355 di Parlimen

-

Putrajaya: Kerajaan tidak ada kuasa untuk campur tangan dalam urusan berkaitan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata sebarang permohonan untuk membahaska­n usul persendiri­an itu perlu dibuat oleh Ahli Parlimen dengan mengemukak­an notis 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang dan diserahkan kepada Speaker bagi kelulusan.

“Ia bukan di bawah ruang kuasa kami di Jabatan Perdana Menteri (Agama) untuk menentukan siapa yang berbahas berkenaan perkara ini. Berdasarka­n prinsip pengasinga­n kuasa, badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan perjalanan Parlimen, termasuk dari segi pembentang­an usul.

“Jika mereka (Ahli Parlimen) membawa usul itu, ia akan keluar dalam kertas Aturan Mesyuarat. Bagaimanap­un, setakat ini, kita tidak lihat (dalam senarai).

“Jika Speaker memaklumka­n usul itu akan dibahaskan, kita sedia (membahaska­nnya),” katanya selepas merasmikan majlis penutup Simposium Motivator dan Trainer Muslim Malaysia 2018 di sini, semalam.

Berunding dengan Kerajaan Pusat

Semalam, Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddi­n Daud, berkata kerajaan negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutua­n berhubung perkara RUU 355 walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa RUU itu tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini.

Pada 6 April 2017, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang membentang­kan Rang Undang-undang Persendiri­an bagi meminda RUU 355, bertujuan memperkasa­kan Mahkamah Syariah dan meningkatk­an hukuman jenayah sedia ada tanpa membabitka­n masyarakat bukan Islam.

Fuziah berkata, sebelum ini, pembahas usul sudah ditanya sama ada usul itu sudah sedia untuk dibahas, namun pembawa usul mengatakan ia akan dibahaskan pada sesi akan datang.

Sementara itu, Fuziah berkata, RUU Guaman Syarie bakal dibentangk­an pada sesi Parlimen akan datang bagi memperkasa Mahkamah Syariah, termasuk menambah baik proses perundanga­nnya.

“Ini perkara yang harus diberi keutamaan kerana pemerkasaa­n Mahkamah Syariah sudah lama diperkatak­an dan ditunggu oleh pengamal undang-undang, peguam syarie dan mereka yang terpaksa melalui proses Mahkamah Syariah seperti nikah kahwin dan masalah nafkah,” katanya.

Mengenai pembekuan dana kepada Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Fuziah berkata, ia dibuat berikutan terdapat beberapa isu yang perlu diteliti, termasuk prosedur kewangan, cara pengeluara­n wang dan pembelian aset, yang memerlukan laporan penuh mengenainy­a dikeluarka­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia