Waris MH370 mohon semakan kehakiman
Kuala Lumpur: Waris penumpang MH370 memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar keputusan kerajaan dan dua lagi yang mengklasifikasikan beberapa dokumen berhubung pesawat itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Mereka adalah waris kepada pasangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling @ Cindy Chuang, 45, dan anak sulungnya, Tan Wei Chew, 19 tahun, yang terbunuh dalam kejadian itu.
Ini termasuk dua anak pasangan itu, iaitu Tan Wei Hong, 18, dan Tan Wei Jie, 16, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 87, dan Lai Chew Lai, 85, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 78, selaku pemohon memfailkan permohonan itu minggu ini.
Saman berkenaan difailkan melalui Tetuan Ngeow & Tan dan mereka menamakan Menteri Pengangkutan, Ketua Setiausaha kementerian dan kerajaan sebagai responden.
Mohon batal status
Lima individu itu memohon perintah supaya beberapa dokumen yang sebelum ini diklasifikasi bawah OSA dibatalkan.
Dokumen itu adalah rakaman atau transkrip komunikasi pesawat, surat perjanjian dengan Singapura, Thailand dan Indonesia, minit mesyuarat dengan agensi berkenaan, memo dalaman selain laporan pencarian serta penyelamatan.
Waris juga memohon perintah mandamus (memaksa) untuk responden mendedahkan dokumen itu dan perintah perisytiharan bahawa dokumen berkenaan bukan dokumen OSA.
Pada 28 Ogos 2015, waris itu juga ada memfailkan saman kecuaian dan kemungkiran kontrak terhadap Malaysia Airlines Berhad dan empat lagi.
Ah Meng, seorang pengarah sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan, dan isterinya, Hsiu Ling, bersama anak sulung mereka, Wei Chew berada dalam penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 sebelum disahkan berakhir di Lautan Hindi.