Ketua Pengarah MARA terima peletakan jawatan Ahmad Nazim
MARA menjelaskan Ketua Pengarahnya, Datuk Azhar Abdul Manaf menerima peletakan jawatan Datuk Ahmad Nazim Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan MARA Bhd.
Dalam satu kenyataan agensi itu berkata, berdasarkan kepada laporan akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) semalam, Azhar tidak pernah menyatakan sebarang hasrat untuk tidak menerima peletakan jawatan Ahmad Nazim seperti dilaporkan mengikut sumber yang dipetik akhbar berkenaan.
“Ketua Pengarah MARA sudah menerima peletakan jawatan ber- kenaan. Justeru, dakwaan pihak media daripada sumber yang mengatakan ‘Azhar meminta Ahmad Nazim menimbang semula dan menarik balik peletakan jawatannya’ adalah tidak benar sama sekali.
“Isu ini adalah bersifat dalaman, yang mana MARA tidak perlu untuk mengumumkannya kepada pihak awam.
Sah letak jawatan
“Pihak media perlu mendapatkan maklumat sah terus daripada MARA sebelum menerbitkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Pelaburan MARA mengumumkan Ahmad Nazim mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan untuk menerokai peluang baharu.
Ketua Pengarah MARA juga sudah menerima peletakan jawatan Ahmad Nazim, kata kenyataan itu.
“Sepanjang perkhidmatannya, Ahmad Nazim menerajui penjenamaan semula serta peralihan kami ke arah konglomerat kewangan perdana dan Pelaburan MARA sudah berkembang kukuh sejak lima tahun lalu, malah tahun lalu kumpulan mencatatkan pertumbuhan keuntungan 142 peratus,” katanya.