Berita Harian

Daren tak tertekan tanpa Chong Wei

-

Petaling Jaya: Pemain perseorang­an lelaki negara, Liew Daren mengakui tidak tertekan walaupun akan beraksi bersendiri­an di Kejohanan Dunia di Nanjing yang bermula Isnin ini selepas Datuk Lee Chong Wei menarik diri akibat masalah kesihatan.

Menurut bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu, dia memang terkejut selepas mendapat khabar Chong Wei menghadapi masalah pernafasan dan terpaksa berehat sebulan.

“Saya baru tahu berita ini semalam mengenai penyakit dialaminya dan berharap dia cepat sembuh. Saya tidak sangka dia menghidap penyakit serius kerana dia pemain berdisipli­n,” katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatan­gani perjanjian antara Akademi Badminton Airasia dan Toga Limited.

Daren, 30, berkata walaupun tanpa Chong Wei dan menjadi wakil tunggal dalam acara perseorang­an lelaki, dia merasakan tidak mempunyai sebarang perbezaan.

“Tidak banyak beza, lagi pun sekarang saya di bawah Akademi Badminton Airasia bukan lagi dengan BAM. Setakat ini saya tidak berasa tertekan. Bermain secara profesiona­l membolehka­n saya fokus kepada diri saya sendiri.

Perlu lakar kejutan

“Saya cuma sedikit terkejut selepas mendapat berita Chong Wei sakit. Setakat ini saya masih belum menghubung­inya untuk bertanya khabar,” katanya yang pernah muncul juara Terbuka Perancis pada 2012.

Daren yang akan berdepan Jonatan Christie pada pusingan pertama mengakui dia perlu melakar kejutan ke atas pemain Indonesia berkenaan jika bercita-cita untuk mara lebih jauh di Kejohanan Dunia.

“Memang pusingan pertama sangat penting dan baru-baru ini saya tumpas kepada dia (di Terbuka Malaysia). Jadi fokus saya sekarang ini hanya di pusingan pertama dan jika boleh melakukan kejutan saya mempunyai peluang untuk mara lebih jauh.

“Persiapan saya juga berjalan lancar selepas baru saja menyertai Terbuka Singapura. Ini adalah penampilan kali kedua saya di kejohanan dunia dan sedikit berbeza berbanding aksi sulung pada 2013 kerana ketika itu saya sangat gementar. Kali ini saya harap mampu beraksi dengan lebih baik,” katanya.

Pada 2013 di Guangzhou, China, Daren yang bermain di bawah BAM terkandas di pusingan ketiga selepas tumpas kepada Chen Long 18-21, 15-21.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia