UDA teroka segmen sistem pencahayaan
UDSB, PCO Lite meterai MOU kongsi kepakaran, rebut peluang perniagaan
Datuk Ahmad Abu Bakar, berkata antara cabang perniagaan yang diterokanya kini adalah pengubahsuaian sistem pencahayaan dengan menawarkan kepakaran, perundingan serta tenaga kerja mahir dalam bidang berkenaan.
Fokus pengubahsuaian
Bagi tujuan itu, Ahmad berkata UDA melalui anak syarikatnya UDA Dayaurus Sdn Bhd (UDSB) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan PCO LITE Electrical Sdn Bhd (PCO Lite) bagi berkongsi kepakaran berhubung pengurusan kemudahan bangunan dengan memfokuskan kepada pengubahsuaian sistem pencahayaan.
“Pemeteraian perjanjian ini juga adalah langkah proaktif bagi merebut peluang perniagaan dalam pengubahsuaian pencahayaan konvensional kepada produk pencahayaan berteknologi hijau dan cekap tenaga.
“Kesedaran terhadap penggunaan sistem mesra alam ini semakin meningkat permintaannya terutama di kalangan pemilik bangunan dan pemaju.
Penjimatan tenaga
“Amalan pengubahsuaian sistem pencahayaan menyumbang kepada penjimatan tenaga sebanyak 50 peratus bagi setiap lekapan setiap tahun. Ia menjadikan penambahan penjimatan tenaga sebanyak 10 peratus sehingga 20 peratus akan berlaku sekiranya menggunakan sistem pencahayaan pintar,” katanya selepas majlis MOU UDSB dengan PCO Lite di Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad berkata, melihat kepada penjimatan itu, banyak pemilik bangunan berminat menaik taraf kepada penggunaan sistem itu dan memperuntukkan bajet bagi pengubahsuaian tahunan mereka.
Selain itu, katanya ramai antara mereka turut menjadikan sistem itu sebagai keperluan utama untuk cadangan projek baharu.
PCO Lite berpengalaman selama 40 tahun dalam menghasilkan produk lampu serta pemasangan elektrik buatan khas untuk kegunaan dalam dan luar bangunan.
UDSB pula adalah peneraju dalam bidang pengurusan fasiliti dengan pengalaman lebih daripada 35 tahun.
UDSB mengendalikan lebih dua juta kaki persegi keluasan bangunan yang merangkumi premis komersial, ruang pejabat swasta dan kerajaan, hospital, kondominium, bangunan warisan mahupun rumah projek perumahan rakyat.
Antara bangunan yang sedang dan pernah diurus oleh UDSB adalah Bangunan Berkembar KLCC Petronas, Menara Platinum Felda, TNB Dua Sentral dan Wisma Darul Iman.