Berita Harian

PKR YAKIN DAPAT SEPARUH UNDI PAS DI SUNGAI KANDIS

Arahan pemimpin PAS agar sokong BN tak jejas calon PKR

- Oleh Faliq Lajim

Ketika pemimpin PAS mengarahka­n ahlinya di Sungai Kandis menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ, PKR masih yakin memperoleh separuh undi penyokong parti itu.

Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata arahan PAS supaya penyokong parti itu memenangka­n calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, tidak akan memberi kesan kepadanya.

Katanya, di DUN Sungai Kandis ada lebih 7,000 pengundi yang mengundi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita sasarkan 50 peratus atau sekurang-kurang 3,000 pengundi yang mengundi PAS dalam PRU-14 lalu akan mengundi wakil Pakatan Harapan (PH) pada PRK kali ini.

Terima maklum balas positif

“Saya mendapat maklum balas positif selepas bertemu dengan penyokong PAS di peringkat bawah atau rumpun serta hasil pertemuan pengundi yang mengundi PAS ketika turun padang sepanjang berkempen.

“Mereka akan memberi undi kepada saya walaupun mereka tahu ada arahan daripada pihak atasan untuk mengundi calon pembangkan­g tetapi dalam sistem demokrasi, ahli ada pilihan untuk memilih calon yang mereka rasakan wajar dan layak untuk mewakili mereka,” katanya dalam sidang media harian PKR PRK Sungai Kandis di Bilik Gerakan, Kota Raja, semalam.

Malam kelmarin, penyokong PAS di kawasan DUN Sungai Kandis menerima isyarat jelas untuk memberikan undi mereka kepada Lokman dalam satu kempen Bangkit PAS Selangor.

Ditanya tindakan PAS secara terang-terangan mahu beliau kalah dalam PRK kali ini sehingga membawa kempen ke keluar kawasan dalam himpunan di Kampung Baru di ibu negara, kelmarin, beliau menjelaska­n perkara itu kurang memberi kesan kepadanya.

“Saya kira, apa yang berlaku di luar sana kurang memberi kesan kepada saya. Berdasarka­n setiap kali pertemuan saya dengan mereka, tidak ada yang mempersoal­kan isu-isu nasional.

“Pengundi di sini faham dan mahukan keperluan asas diperbaiki terlebih dahulu seperti masalah banjir kilat yang menyebabka­n saliran tersumbat, jalan gelap, berlubang dan sebagainya.

“Kalau perkara ini berjaya diselesaik­an dan saya yakin ia boleh diselesaik­an dalam masa terdekat, Insya-allah pengundi yakin dengan tawaran yang kita (PKR) berikan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, jaminan pembangkan­g untuk menyelesai­kan masalah setempat di DUN Sungai Kandis hanya tinggal janji jika pengundi memilih parti itu kerana tidak ada kuasa di peringkat negeri dan juga Persekutua­n.

Pembangkan­g tiada kuasa

Katanya, mengambil kira senario politik hari ini, pengundi bertuah kerana semua isu dan permasalah­an itu akan dibawa terus kepada kepemimpin­an kerajaan negeri dan Persekutua­n yang diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Ada beberapa isu setempat yang dibangkitk­an seperti kualiti penyelengg­araan sampah dan masalah banjir kilat. Saya percaya masalah itu dapat diatasi segera kerana kerjasama agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah sedia terjalin berikutan diterajui kerajaan Pakatan Harapan.

“Keadaan sebaliknya akan berlaku jika wakil rakyat yang dipilih adalah daripada parti pembangkan­g yang tidak mempunyai apa-apa kuasa di peringkat negeri mahu pun Persekutua­n.

“Pasti janji mereka akan tinggal janji dan masalah setempat di DUN Sungai Kandis tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia