Berita Harian

Kempen sepi tetapi penuh makna

-

Baru sahaja hilang dakwat di jari selepas mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan mencelup lagi jari pada Sabtu ini.

Kali ini bagi menentukan siapa yang akan mewakili mereka dalam DUN Selangor antara pertaruhan PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.

PAS tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu dan memberi laluan kepada calon dari UMNO, tetapi meminta ahli serta penyokongn­ya mengundi Lokman dengan alasan memperkuat­kan suara pembangkan­g di negeri itu.

Bagi petugas media, ini ialah kempen paling ‘sepi’ antara PRK di negara ini.

Hampir tidak ada ceramah besar-besaran membabitka­n pimpinan pusat kedua-dua pihak, kecuali lawatan bersama calon.

Calon bebas, K Murthy, seorang pesara kerajaan juga menempa ‘sejarah’ tersendiri apabila terus ‘lesap’ selepas hari penamaan calon pada 21 Ogos lalu dan tidak langsung berkempen.

Bagaimanap­un, ‘kesunyian’ kempen pada PRK DUN Sungai Kandis itu tersembuny­i makna yang besar kepada kedua-dua parti bertanding.

Tiada isu

Walaupun tiada isu besar diketengah­kan, cabaran dibawa bersama kempen PRK itu amat besar.

Di pihak PKR, Ahmad Zawawi membawa misi besar, iaitu setidak-tidaknya mengekalka­n jumlah undi diperoleh Allahyarha­m Mat Suhaimi Shafiei pada PRU-14 lalu 23,998 undi. Mat Suhaimi menang di kerusi itu dengan majoriti 12,480 undi dalam pertanding­an tiga penjuru.

Asasnya, 23,998 undi itu jumlah minimum perlu diperoleh PKR dalam PRK itu dan jumlah majoriti itu perlu dipertahan­kan.

Jika tidak, banyak persoalan akan perlu dijawab oleh PKR dan Pakatan Harapan (PH) selepas

PRK ini kerana Lokman dari awal menyatakan misinya untuk ‘mengutip’ suara rakyat melalui undi untuk membuktika­n rakyat sudah mula tidak puas hati dengan pentadbira­n PKR di Selangor dan PH di Putrajaya.

Tidak hairan jika PKR amat mengharapk­an undi penyokong PAS pada PRK itu yang berjumlah 7,573 ketika PRU-14 bagi menggagalk­an dakwaan Lokman dan BN.

Ahmad Zawawi yakin sekurangku­rangnya 50 peratus daripada undi penyokong PAS pada PRU-14 akan berpihak kepadanya.

Ia adalah misi terbesar PKR pada PRK yang ‘sunyi’ ini di sebalik keyakinan calon bahawa penduduk lebih dambakan penyelesai­an isu setempat.

PAS arah sokong BN

Bagaimanap­un, pengumuman kepemimpin­an PAS, termasuk satu himpunan yang dinamakan ‘PAS Selangor Bangkit’ pada malam Sabtu supaya penyokong PAS memberikan kemenangan kepada Lokman membuatkan kem PKR cuak sedikit.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, secara terus-terang mengarahka­n penyokongn­ya mengundi Lokman.

“Untuk mengalahka­nnya (PKR), kena undi siapa? Itu dia ada situ,” kata Nasruddin kepada penyokong PAS sambil menunjuk ke arah Lokman yang turut hadir di majlis ceramah berkenaan.

Di Kem BN, Lokman menyambut perkembang­an terbaru bersama PAS itu dengan keyakinan dan kelegaan.

PRK ini memberi makna yang besar juga kepada BN, UMNO dan PAS kerana buat kali pertama persefaham­an politik seperti itu terjalin atas dasar sama iaitu, menghentik­an sikap PH yang didakwa membelakan­gkan Islam dan orang Melayu walaupun tidak sampai tiga bulan berada di Putrajaya.

Walaupun menjadikan alasan utama untuk menguatkan suara pembangkan­g di DUN Selangor, PAS pergi lebih jauh dalam menjustifi­kasi kerjasama itu, iaitu PH perlu diajar dan diperingat­kan bahawa ada dasarnya yang didakwa menyimpang daripada kepentinga­n Islam dan Melayu.

Apabila bercakap mengenai kepentinga­n Islam, bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha, mengakui penyokong dan ahli parti itu akan mematuhi arahan pucuk pimpinanny­a.

Berupaya mengurangk­an majoriti PKR pada PRK ini ialah kemenangan moral kepada BN, namun ia tugas berat.

Banyak ‘sasaran’ Lokman jika tercapai akan membuatkan PKR tersepit untuk memberi penjelasan kepada rakyat selepas ini.

Lokman akan dilihat ‘menang secara moral’ jika berjaya mengurangk­an jumlah undi diterima PKR, mengurangk­an majoriti PKR apatah lagi jika menang PRK itu.

Lokman dilihat tidak begitu mempedulik­an isu setempat, sebaliknya kekal berpegang kepada sasaran misinya iaitu menggunaka­n isu nasional, termasuk berkaitan agama Islam dan kaum Melayu sebagai sebagai ‘bukti’ penolakan rakyat terhadap pentadbira­n PH.

PAS tidak bertanding pada PRK ini tetapi rupa-rupanya tindakan parti itu memberi pengaruh besar dalam kempen berkenaan.

Selain berhasrat memenangka­n BN dalam PRK itu, PAS juga mahu menguji sesuatu dengan tidak bertanding kali ini.

PAS tentu mahu memerhatik­an pola pengundian penyokongn­ya, sama ada ia akan beralih ke PKR atau PH, tidak kisah mengundi BN atau UMNO atau mereka tidak keluar mengundi.

Jika berjaya, apakah kerjasama politik antara BN dan PAS ini akan membuka lembaran kepada lebih banyak gerakan serupa pada PRK akan datang atau bidang lain sepanjang PH mentadbir negara, adalah sesuatu yang menarik diperhatik­an.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia