Berita Harian

Dewan Negara dikuasai pembangkan­g, sukar lulus RUU

-

Setiap Rang Undang-undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat perlu dibentang dan dibahaskan semula di Dewan Negara untuk proses sama (diluluskan), sebelum dihantar kepada Yang di-pertuan Agong, untuk diperkenan­kan.

Secara realitinya, setiap RUU lebih mudah diluluskan di Dewan Rakyat kerana Dewan itu dikuasai wakil kerajaan, selain kemungkina­n mendapat sokongan parti politik keluar daripada Barisan Nasional (BN), terutama di Sarawak yang membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, ia berdepan kesukaran untuk diluluskan di Dewan Negara yang masih dikuasai pembangkan­g, khususnya wakil daripada BN dan PAS.

Berdasarka­n maklumat daripada laman web Parlimen Malaysia, Dewan Negara dianggotai 70 ahli dengan 43 daripada BN, lapan daripada Pakatan Harapan (PH) dan lima Bebas.

Bagaimanap­un, jumlah itu tidak termasuk lima Senator yang mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri di hadapan Yang di-pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ini termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) Senator P Waytha Moorthy sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahter­aan Sosial).

Empat lagi Senator yang mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri didahului Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pulau Pinang, Senator Marzuki Yahya sebagai Timbalan Menteri Luar dan Ketua (BERSATU Bahagian Ketereh, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dua lagi senator yang mengangkat sumpah ialah Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Ching Tong, sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bersidang 11 hari

Dewan Negara dijadualka­n bersidang selama 11 hari mulai 20 Ogos hingga hingga 12 September ini, iaitu sebaik selesai Sidang Dewan Rakyat.

Seorang bekas Speaker Dewan Negara yang enggan namanya disiarkan berkata, memang sukar meluluskan RUU tanpa kelulusan Dewan Negara.

Katanya, mengikut peraturan Dewan, RUU berkenaan akan dikembalik­an kepada Dewan Rakyat untuk dibentang, dibahas dan diluluskan semula jika tidak diluluskan di Dewan Negara.

Bagaimanap­un, katanya, kerajaan akan menggunaka­n segala kuasa yang ada untuk memastikan RUU berkenaan diluluskan.

Difahamkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang memperuntu­kkan denda maksimum RM500,000 dan penjara sehingga enam tahun diwartakan April lalu akan dibentangk­an pada sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin lalu untuk dimansuhka­n.

Akta Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) 2018 yang diluluskan pada April 2014 juga dijangka dibentangk­an untuk dimansuhka­n, sejajar Manifesto Pakatan Harapan (PH) Janji 100 Hari.

Pada 7 Jun lalu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar daripada BN menerusi laman Twitter peribadiny­a berkata, BN masih mempunyai majoriti dalam Dewan Negara.

Menerusi catatannya, beliau berkata, sebarang rang undangunda­ng perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara jadi, atas prinsip kepentinga­n negara dan ‘maslahah al-ammah’, BN mesti menyokongn­ya.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam wawancara bersama RTM turut yakin Ahli Dewan Negara atau Senator yang mewakili pembangkan­g akan menyokong RUU demi kepentinga­n rakyat dan negara.

Daripada 70 Ahli Dewan Negara yang bergelar Senator, seramai 26 dipilih melalui pengundian di peringkat negeri dengan dua Senator setiap negeri, manakala 44 lagi dilantik dan dipilih oleh Yang dipertuan Agong.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia