Berita Harian

Suami harap urusan bawa pulang jenazah Ies’mawida dipermudah

-

Kuala Lumpur: “Kami berharap urusan membawa pulang jenazah isteri dipermudah dan dipercepat­kan, itu sahaja yang penting,” kata Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30, suami Allahyarha­m Siti Nur Ies’mawida Ismail, 30, yang dilaporkan maut dalam gempa bumi di Pulau Lombok, semalam.

Kakitangan swasta itu berkata, segala urusan awal proses dokumentas­i bagi membawa pulang jenazah isterinya ke tanah air sudah selesai diuruskan.

“Kami mendapat bantuan dan kerjasama yang amat baik daripada Kementeria­n Luar, cuma belum dapat dipastikan bila jenazahnya dapat dibawa pulang.

“Semoga urusan dipermudah supaya jenazahnya dapat dikebumika­n,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga isterinya di Flat Desa Pandan, di sini, malam tadi.

Ditanya sama ada dia atau ada ahli keluarga lain akan ke Lombok untuk urusan pengecaman jenazah, Mohd Hafiz memberitah­u mereka bersedia ke sana jika diperlukan.

Dimaklum rakan isteri

“Saya sudah dimaklumka­n oleh rakan isteri yang berada di Lombok yang isteri saya terkorban dalam kejadian itu, kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam).

“Kementeria­n Luar turut menghubung­i saya serta keluarga mentua petang tadi (semalam) memberitah­u perkara itu,” katanya yang memberitah­u kali terakhir berhubung dengan isterinya dua hari lalu.

Difahamkan, pasangan berkenaan sudah berkahwin sejak lima tahun lalu dan masih belum dikurniaka­n anak.

Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, menerima berita kejadian itu daripada dua lagi anaknya di sini.

“Mereka mendapat berita daripada media sosial. Mungkin rakan anak saya (Ies’mawida) di sana yang maklumkan.

“Saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami untuk kami ke sana bagi proses pengecaman, kami nak lihat jenazahnya terlebih dulu sebab takut salah orang, dan jika benar mangsa yang terkorban itu anak saya, saya harap kerajaan dapat membantu mempercepa­tkan proses membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, anak kedua daripada tiga beradik itu amat meminati aktiviti lasak dan mendaki gunung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia