Berita Harian

PKR tidak terancam: Presiden

Yakin Mohd Zawawi berjaya kekalkan kemenangan

- Oleh Tharanya Arumugam

PKR tidak berasa terancam dengan tindakan pimpinan PAS memberikan sokongan terbuka kepada calon Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau yakin calon parti itu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan memenangi, sekali gus mengekalka­n kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.

“Saya tidak fikir (kerjasama BN dan PAS) gugat PKR kerana saya fikir pertanding­an ini antara UMNO dan PKR. PAS boleh sokong mana-mana calon.

“Bagi saya, calon PKR boleh menarik sokongan pengundi. (Mereka) akan beri sokongan yang diperlukan untuk kita mengekalka­n kerusi (DUN Sungai Kandis),” katanya pada program minum petang bersama ahli PKR dan penduduk Sungai Kandis di sini, semalam.

Pimpinan PAS kelmarin mengarahka­n ahli dan penyokongn­ya supaya mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada PRK Sungai Kandis.

Ahli Majlis Syura PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata ahli dan penyokong PAS perlu mengundi calon BN kerana Pakatan Harapan (PH) tidak dilihat sebagai gabungan yang menegakkan syiar Islam.

Tunai tanggungja­wab undi

Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri juga meminta penduduk DUN Sungai Kandis supaya menjalanka­n hak dan tanggungja­wab sebagai pengundi, Sabtu ini.

“Saya faham kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14), namun penting supaya kita menjalanka­n tanggungja­wab sebagai pengundi di Sungai Kandis.

“Saya galakkan pengundi supaya keluar awal untuk mengundi pada hari itu,” katanya.

Mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak berpuas hati terhadap kerajaan pimpinan PH, Dr Wan Azizah berkata, PH baru sahaja mentadbir Malaysia berbanding BN selama 61 tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai peranan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, selepas tempoh 100 hari beliau berkata, MPK akan terus berperanan sebagai penasihat kerajaan.

“Saya difahamkan bahawa MPK akan menasihatk­an kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

“Kami mahukan nasihat mereka kerana Kabinet hari ini tidak mempunyai banyak pengalaman. Kami membuat keputusan ini (mendapatka­n nasihat MPK) bersama,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata Mohd Zawawi boleh membantu pembanguna­n pendidikan di Selangor jika beliau diberi mandat kali ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia