Berita Harian

3 kembar tunai haji berkat menabung sejak kecil

Ibu bapa simpan duit raya, hadiah cemerlang pelajaran dalam akaun TH

-

Berkat ibu bapa menyimpan duit raya dalam Tabung Haji (TH), tiga beradik kembar berusia 27 tahun bersyukur kerana menerima jemputan Allah untuk menunaikan haji pada usia muda.

Dr Muhamad Zaini Fikri Mohd Yusop bersama dua adiknya, Muhamad Zarif Fikri dan Dr Muhamad Zazali Fikri yang berasal dari Batu Pahat, Johor, diiringi abang mereka, Faizul Fikri, 34, dan kakak ipar, Siti Naqsya Mohamad.

“Terima kasih kepada ibu bapa kami yang menyimpan duit kami dalam TH sejak kecil. Tak silap, sejak berusia 12 tahun, duit raya dan duit hadiah kecemerlan­gan dalam pelajaran, emak dan ayah simpan dalam akaun TH.

“Kerana usaha dan pandangan jauh merekalah kami empat beradik berada di sini pada hari ini,” kata Dr Muhamad Zaini Fikri ketika ditemui di Maktab 75 Hotel Abraj Al-janadriyah, di sini.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Along, berkata sebenarnya mereka tiga beradik ditawarkan menunaikan haji bersama ibu bapa tiga tahun lalu, namun menolak kerana ketika itu masih menuntut di universiti.

“Kami mohon TH supaya dibenarkan membuat penangguha­n tiga tahun dan ibu bapa juga setuju dengan keputusan kami.

“Alhamdulil­lah, selepas tamat pengajian dan setahun bekerja, kami tiga beradik menjadi tetamu Allah, sebagaiman­a dirancang,” katanya yang mendirikan rumah tangga lapan bulan lalu.

Dr Muhamad Zaini Fikri dan Dr Muhamad Zazali Fikri, sama-sama menuntut jurusan perubatan di Universiti Mansoura, Mesir dan kini berkhidmat sebagai doktor, masing-masing di Hospital Klang dan Hospital Ampang, Selangor.

Muhamad Zarif Fikri pula memilih haluan berbeza apabila menjadikan bidang pendidikan sebagai cabang kerjaya dan kini menyambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn (UTHO) Batu Pahat, selepas bekerja sementara waktu sebaik selesai pengajian peringkat diploma.

Ibu bapa pengaruhi kerjaya

Muhamad Zarif Fikri berkata, bapanya yang bertugas sebagai pensyarah di UTHO manakala ibunya pula doktor di Hospital Ampang, banyak mempengaru­hi kerjaya mereka dan tiga beradik lain.

“Abang sulung seorang doktor veterinar di Ipoh, abang kedua jurutera manakala kakak pula jururawat di Hospital Batu Pahat,” katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah.

Biarpun bukan kembar seiras, tiga beradik itu sering menarik perhatian jemaah haji lain kerana penampilan fizikal mereka tidak banyak berbeza dan ada kalanya mencetus kekeliruan rakan sebilik untuk mengenali mereka, khususnya pada peringkat awal.

Pengalaman berbeza

Bagi Dr Muhamad Zazali Fikri, kehadiran mereka empat beradik ke Tanah Suci kali ini untuk menunaikan haji memberi pengalaman berbeza berbanding kedatangan dua kali untuk mengerjaka­n umrah sebelum bersama ibu bapa pada 2008 dan 2010.

“Dahulu kami belum kerja, semua perbelanja­an emak dan ayah yang tanggung. Kali ini, semuanya atas duit sendiri, jadi ia mengajar kami untuk lebih menghargai rezeki. Bukan senang nak dapat duit,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? Dr Muhamad Zazali Fikri (kanan), Dr Muhamad Zaini Fikri (tengah) dan Muhamad Zarif Fikri bersama-sama ke Makkah selepas menyimpan wang dalam akaun TH sejak kecil.
Dr Muhamad Zazali Fikri (kanan), Dr Muhamad Zaini Fikri (tengah) dan Muhamad Zarif Fikri bersama-sama ke Makkah selepas menyimpan wang dalam akaun TH sejak kecil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia