Berita Harian

Orang Asli halang ambil Musang King

Dakwa dusun pokok buah durian ditanam atas tanah adat

- Oleh Ramli Ibrahim cnews@nstp.com.my

Orang Asli di Kampung Kaleg, Pos Tohoi di sini, melakukan sekatan bagi menghalang pekerja syarikat yang mengusahak­an kebun durian Musang King daripada memasuki kawasan itu.

Seramai 30 penduduk menghalang kenderaan daripada syarikat terbabit, termasuk berbaring di atas jalan yang disifatkan tindakan ‘berani mati.’

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along, berkata penduduk berkumpul dan melakukan sekatan itu pada jam 9 pagi kelmarin.

Beliau berkata, beberapa kenderaan pekerja kebun durian dihalang di laluan terbabit.

Kekecohan enam jam

Katanya, kekecohan berlaku hampir enam jam sebelum pekerja kebun durian mengalah dan berpatah balik ke bandar Gua Musang.

“Bagaimanap­un, dalam insiden pertengkar­an itu tiada kejadian tidak diingini berlaku dan mereka bersurai secara aman,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mustafa berkata, kebun durian Musang King itu membabitka­n keluasan 400 hektar di Pos Simpor.

Katanya, penduduk Orang Asli marah kerana mendakwa ia membabitka­n tanah adat kaum yang dipertahan­kan daripada diceroboh mana-mana pihak.

“Kita (Orang Asli) tidak akan kompromi terhadap penceroboh tanah adat, kerana ia menyebabka­n kemusnahan hutan dan pencemaran sungai,” katanya.

Seorang penduduk, Dendi Johari, 22, berkata, penduduk akan berkumpul di sekatan itu sepanjang masa sehingga tuntutan tanah adat diselesaik­an.

Beliau kecewa kerana kerajaan negeri berdolak dalih mengenai tuntutan terhadap tanah adat, hingga gagal diselesaik­an sampai sekarang.

Pertahan tanah adat

“Saya sendiri terpaksa berdepan dengan kekecohan pekerja kebun durian semalam (kelmarin) dan saya memberitah­u pekerja kebun durian itu yang tindakan kami untuk menjaga tanah adat daripada musnah.

“Ada penduduk Orang Asli terbaring atas jalan bagi menghalang kenderaan syarikat terbabit masuk dan itulah tindakan berani mati kami,”katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia