Berita Harian

Peletakan jawatan lembaga pengarah tak jejas pasaran

-

Peletakan jawatan seluruh lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd barubaru ini dijangka tidak membawa sebarang kesan terhadap pasaran ekuiti tempatan, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan.

Katanya, prestasi ekuiti tempatan dipengaruh­i terutama oleh bursa serantau.

“Malahan, kesannya tidak ketara. Setakat ini, kita tidak melihat sebarang turun naik besar dalam harga saham berkaitan dengan syarikat yang Khazanah telah melabur, yang termasuk CIMB Bank Bhd dan Axiata Group Bhd,” katanya.

Selain itu, Nazri Khan juga berkata laporan bahawa Khazanah, Permodalan Nasional Bhd dan PETRONAS akan diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan bukannya Kementeria­n Hal Ehwal Ekonomi yang baharu dibentuk tidak akan menjejaska­n keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Penyusunan semula

“Ia hanya satu langkah penyusunan semula dan langkah kecil untuk menambah baik tadbir dan daya maju tiga syarikat yang berada di bawah Model Baharu Ekonomi.

“Selain itu, langkah itu juga adalah satu cara untuk menghentik­an secara berperingk­at lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini,” katanya.

Menurut perangkaan yang dikeluarka­n oleh Inter-pacific Securities Sdn Bhd, aliran keluar bersih asing di Bursa Malaysia meningkat kepada RM437.1 juta dari Isnin ke Khamis berbanding jualan asing bersih berjumlah RM247.1 juta yang dicatatkan seminggu sebelumnya.

Mengulas mengenai perkara ini, Nazri Khan berkata, aliran keluar itu disebabkan terutama oleh penurunan dalam saham berkaitan minyak dan gas yang terjejas akibat ketegangan antara Yaman dan Arab Saudi.

Sementara itu, Penolong Profesor Pengurusan di Asia School of Business Dr Renato Lima de Oliveira, berkata beberapa siri peletakan jawatan dan perubahan dalam GLC akan membuka ruang bagi kerajaan pakatan sekarang untuk meneruskan keutamaan dasar dan manifesto mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia