Berita Harian

PERSONALIT­I:

Membaca 1,200 naskhah selama enam tahun, Nurin mahu jadi pakar motivasi

- Oleh Nas Norziela Nasbah

Nurin mahu jadi pakar motivasi

Mula membaca buku cerita penuh tanpa bantuan ibu bapanya sejak berusia lima tahun, Nurin Insyirah Saiful Rizal boleh dijadikan contoh yang baik untuk murid sekolah rendah.

Personalit­i BH Didik minggu ini dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Anggerik, Shah Alam menjadikan buku sebagai ‘teman rapat’ sejak kecil dan mencatat rekod bacaan sebanyak 1,200 buah buku ketika bertanding pada Pertanding­an Nilam Peringkat Kebangsaan 2018, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai minat membacanya, Nurin Insyirah berkata, dia sedar membaca mampu menambah ilmu dan terbukti aktiviti itu banyak membantu dalam kehidupan serta tidak pernah membosanka­n.

Buku sebagai teman

“Sejak kecil lagi, ibu dan ayah sudah memupuk rasa minat membaca di rumah, justeru ke mana-mana pun, saya akan membawa buku, walaupun tidak habis membacanya.

“Saya juga sentiasa menggalakk­an adikadik untuk membaca bersama-sama jika ada masa terluang dan memastikan kami memperoleh ilmu baharu daripada apa yang dibaca,” kata anak sulung daripada enam orang adik-beradik itu.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS), Nurin Insyirah atau mesra dengan panggilan Nurin dalam kalangan keluarga dan rakannya berkata, selain ibu bapa, dia cukup bertuah kerana mempunyai Guru Perpustaka­an dan Media, Puan Astura Abu Bakar yang sangat membantu sepanjang mewakili sekolah untuk pertanding­an nilam.

“Puan Astura merupakan guru paling berpengala­man dalam pertanding­an ini dan beliau banyak mengajar dan melatih saya.

“Saya cukup bertuah kerana diberi peluang untuk mewakili sekolah dan Selangor dalam pertanding­an ini, walaupun kecundang pada peringkat kebangsaan, sekurang-kurangnya saya dapat berkongsi pengalaman bersama-sama peserta lain,” katanya.

Minat buku biografi

Menjadikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idolanya, Nurin meminati buku jenis biografi, termasuk buku yang dihasilkan oleh pakar motivasi terkemuka seluruh negara.

“Buku biografi bukan sahaja mendekatka­n kita dengan kisah seseorang tokoh, tetapi turut meninggalk­an impak positif dalam diri seseorang pembaca.

“Kisah mereka boleh dijadikan iktibar, panduan atau pembakar semangat untuk tidak cepat mengalah sebelum mencapai sesuatu kejayaan,” katanya yang meminati penulis, Ain Maisarah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia