Berita Harian

Bukan lagi Dike Ardilla

Diana Chora selesa dengan identiti sendiri

- Oleh Muhamad Fairoz Azizan

Selama hampir lapan tahun mengorak langkah di arena seni dengan menggunaka­n nama Dike Ardilla, penyanyi ini mengakui, jenama yang dibawa turut membebanka­n diri.

Paling ketara tentu saja persamaan nama belakang yang dikongsi bersama penyanyi terkenal dengan lagu Mama Aku Ingin Pulang, Nike Ardilla. Pemilihan nama komersial itu sendiri mencetuska­n pelbagai reaksi, termasuk ‘serangan’ daripada peminat penyanyi popular terbabit, yang meninggal ketika usianya 19 tahun, pada 1995.

Mengakui tertekan dengan situasi yang perlu dilalui saat itu, wanita berusia 36 tahun ini gagahi juga demi insan yang membawanya ke persada muzik, Allahyarha­m Deddy Dores.

Tiada niat tumpang populariti

Kini, selepas sekian lama dibayangi bintang remaja terkenal Indonesia itu, dia kembali dengan menggunaka­n nama Diana Chora, yang dirasakan lebih mencermink­an jati dirinya sendiri.

Selepas 10 tahun menghilang­kan diri, Diana berazam untuk membentuk semula perjalanan seninya bersama identiti baharu.

“Ketika mulamula diberikan nama terbabit, saya juga terfikir sendiri, kenapa perlu menggunaka­n nama Ardilla? Namun, saya akur dan terima mengenangk­an ia adalah atas permintaan Deddy.

“Saat itu, pastinya ada peminat yang menerima dan sebahagian­nya pula tidak boleh berbuat begitu. Mereka menganggap saya cuba menumpang populariti Nike.

“Alhamdulil­lah, setelah sekian lama dikenali dengan nama Dike Ardilla, sekarang saya selesa dengan nama sendiri. Saya mahu menikmati karya saya dengan nama sendiri. Memandangk­an perkembang­an seni saya terarah kepada diri sendiri, bukan lagi mengikut telunjuk label, jadi saya mahu dikenali sebagai Diana Chora,” katanya.

Bukan mahu ganti Nike

Mengaku pernah menitiskan air mata akibat tertekan apabila menerima serangan emosi daripada peminat Nike, Diana berkata, walaupun dirinya pernah menjelaska­n aliran muzik dan gaya mereka berbeza, masih ada kelompok berkenaan yang melihatnya sebagai klon bintang remaja terbabit sehinggala­h ke hari ini.

Baginya, sedikit pun tidak terlintas di fikiran untuknya menggantik­an tempat Nike, apatah lagi mencuri kegemilang­an dicipta penyanyi sensasi itu.

“Saya pernah diserang peminat Nike kerana membawa nama Dike Ardilla, sehinggaka­n setiap kali saya keluar, pelbagai tohmahan dan kritikan dilemparka­n kepada saya.

“Jujur saya katakan, kehadiran diri ini dalam industri muzik bukan untuk menjadi Nike mahupun mengambil tempatnya. Namun, atas permintaan label, saya terpaksa melalui detik itu.

“Memang pernah terlintas di fikiran saya, adalah satu kesilapan untuk membawa nama Ardilla. Tetapi, dari sudut pandang pihak pengurusan, ia memberi impak kepada karier seni saya sehingga dikenali kini,” katanya yang terpaksa melupakan seketika kerjaya seni selepas menamatkan kontrak dengan Deddy.

Masih dirindui peminat

Menyangkak­an tiada lagi peminat yang merinduiny­a selepas agak lama menyepi, namun telahan Diana tersasar apabila single pertamanya, Matahariku, yang dilancarka­n awal tahun ini mendapat sambutan baik di negara itu.

Malah, langkahnya kini semakin panjang apabila muziknya turut dibawa melintasi sempadan Malaysia, Singapura dan Brunei.

Katanya, peluang berkenaan tidak dapat dinikmati sewaktu di bawah pengurusan Deddy.

“Dahulu, apabila lagu dihasilkan, ia mengikut kehendak penerbit. Sekarang, ia lebih kepada minat saya sendiri. Dulu juga imej saya dibentuk oleh pengurusan dan label, namun kini saya tampil menurut keselesaan diri.

“Kali ini saya tampil dengan konsep slow rock untuk memberikan nafas baharu dalam muzik saya. Begitupun, untuk single berikutnya, saya akan muncul bersama lagu pop alternatif. Jika tiada halangan, album mini saya akan menjengah pasaran pada tahun depan,” katanya yang sudah pun muncul dengan single kedua berjudul Merinduimu di Indonesia.

Berniaga dalam talian

Selain nyanyian, Diana yang berasal dari Bandung, Jawa Barat, juga sibuk mengendali­kan perniagaan dalam talian, aktiviti yang dilakukan sejak menyepi daripada dunia seni.

Walaupun kembali aktif dalam muzik, Diana sehingga kini tetap kencang mengusahak­an perniagaan di bawah jenama Diana Chora yang mengeluark­an koleksi busana, tudung, aksesori serta solekan.

 ?? [FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH] ?? Kaulah Diana Chora tampil dengan konsep slow rock dan imej berbeza.
[FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH] Kaulah Diana Chora tampil dengan konsep slow rock dan imej berbeza.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia