Berita Harian

Ulama perlu tegas suarakan kebenaran

Pembabitan dalam politik perlu dahulukan kepentinga­n agama

- Oleh Latifah Arifin

Suara ulama dan agamawan yang tegas serta adil dalam membawa perkara berasaskan kebenaran terhadap Islam amat diperlukan khususnya memelihara kesucian agama.

Oleh itu, tidak salah sekiranya golongan itu menceburi pelbagai bidang termasuk politik tetapi ia tidak boleh lari daripada agama, malah merujuk kepada sumber dalam islam kerana ia tunjang dan asas dalam kehidupan dunia serta akhirat.

Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Zakaria Stapa mengakui keperluan ulama terbabit dalam politik tetapi ia mestilah mendahuluk­an kepentinga­n agama terutama mencapai hasrat melahirkan masyarakat madani.

Jaga syariat agama

“Jika ada ulama yang masuk dalam dunia politik, mestilah berpegang kepada prinsip keadilan, tidak bersifat menindas dan menjaga syariat agama.

“Mereka juga perlu ikhlas dalam usaha dan perjuangan politik dengan sentiasa mengambil kira tuntutan agama.

“Sekiranya perkara ini dipegang, tidak mustahil permasalah­an membabitka­n persengket­aan atau konflik dapat dikurangka­n dan dikawal dengan lebih baik,” katanya.

Dalam konteks peranan ulama yang lebih menyeluruh, Zakaria berkata, golongan agamawan perlu memainkan peranan dalam kehidupan bermasyara­kat kerana mereka penyambung legasi dakwah Rasulullah SAW.

“Ulama sebagai ahli masyarakat ialah warasatul anbiya, iaitu pewaris nabi. Selepas ketiadaan Rasulullah SAW mereka perlu meneruskan dakwah dan memberikan pendidikan agama yang ditinggalk­an Baginda.

“Daripada aspek pendidikan, ruang lingkupnya terlalu besar bukan sekadar memastikan umat Islam di negara ini mendapat ilmu secara formal pada peringkat sekolah atau membina tahfiz saja.

“Apa yang perlu diperhebat termasuk penulisan dan menggalakk­an lebih banyak majlis ilmu di surau, masjid serta institusi supaya masyarakat faham, jelas dan terbuka minda mengenai hal yang berkait dengan kebenaran ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata, ulama hari ini perlu keluar daripada zon selesa, memandangk­an keperluan untuk membantu ummah amat mendesak.

Laksana tanggungja­wab

Katanya, ini kerana perpecahan dalam umat Islam yang berpuakpua­k, bermusuhan kerana pandangan dalam agama (perkara khilafiyah) yang berbeza dan agak ketara tidak lagi menjaga silaturahi­m sebagai saudara seagama.

“Jika golongan agama sedar mereka pewaris nabi, maka perlu untuk menjalanka­n tugas menyebar kebenaran dan menyampaik­an ajaran Islam secara menyeluruh.

“Mereka juga perlu menyedari ada halangan lain dalam menyampaik­an dakwah, iaitu penerimaan masyarakat terhadap hal berkaitan agama.

“Ada yang nilai keislaman mereka makin malap, maka ada banyak isu yang gagal difahami termasuk enggan mendengar dan menerima, sekali gus menjadikan cabaran menyampaik­an dakwah menjadi lebih besar,” katanya.

Mereka juga perlu ikhlas dalam usaha dan perjuangan politik dengan sentiasa mengambil kira tuntutan agama” Zakaria Stapa, Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, UKM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia