Berita Harian

Tugas berat atlet akuatik

ASUM hanya sasar 1 perak dua gangsa, China dijangka dominasi

- Oleh Jumiati Rosly

Meskipun pernah merangkul pelbagai gelaran di peringkat antarabang­sa, hakikatnya penerjun negara masih belum pernah merangkul pingat emas pada Sukan Asia.

Sejak ketiadaan Yang Zhuliang sebagai ketua jurulatih apabila kontraknya tamat pada hujung tahun lalu, keputusan pencapaian skuad terjun negara pada Sukan Asia di Indonesia pada bulan hadapan pasti menjadi pengukur kemampuan sebenar atlet negara di bawah kejurulati­han baharu.

Juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong dan gandingann­ya, Pandelela Rinong yang memenangi pingat emas 10m platform seirama pada Sukan Komanwel di Gold Coast, April lalu pasti menjadi taruhan terbaik pada Sukan Asia kali ini.

Dengan saingan pastinya daripada penerjun China yang berada di tahap tersendiri, sasaran satu perak dan dua gangsa yang diletakkan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dilihat adalah jalan selamat buat badan induk itu pada temasya kali ini.

Sasaran lebih tinggi

Biarpun kemenangan dua perak dan tiga gangsa pada temasya empat tahun lalu di Incheon, sasaran kali ini sepatutnya lebih tinggi dengan kebanyakan penerjun negara yang disenaraik­an adalah atlet daripada Program Podium yang menerima kelebihan daripada segi latihan dan kemudahan lain.

Bagi renang pula yang menyaksika­n Paul Birmingham menggalas tugas terakhirny­a sebagai ketua jurulatih renang negara, sandaran pingat dalam renang adalah tipis.

“Realitinya saingan pada Sukan Asia untuk memenangi pingat adalah sama sengit pada Sukan Olimpik. Bagaimanap­un, kami tetap akan memberikan tentangan,” kata Birmingham.

Sukan renang berirama juga sekali lagi bakal menyaksika­n dominasi perenang dari China dengan Malaysia sekadar mahu memastikan prestasi negara lebih bagus daripada Singapura dan Uzbekistan.

Perenang senior negara, Zylane Lee yang pernah beraksi pada temasya lalu baru saja menjalani pemulihan akibat kecederaan bahu dan semakin membiasaka­n diri bagi persediaan ke Jakarta nanti.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia