Berita Harian

Mangsa kebakaran pindah rumah panjang

Tapak sudah dikenal pasti, kerja pembinaan dalam masa terdekat

- Oleh Poliana Ronnie Sidom

Penduduk yang hilang tempat tinggal dalam kebakaran Kampung Gas di sini, pada 27 Jun lalu, akan dipindahka­n ke penempatan rumah panjang baharu yang bakal dibina di kawasan Batu Sapi.

Sebanyak 60 keluarga kini menetap sementara di Kuarters Syarikat Sinora di Jalan Batu Sapi di sini, sebelum berpindah ke rumah panjang baharu itu.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, berkata keluarga terbabit dipindahka­n ke kuarters terbabit dari pusat penempatan sementara di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR), Taman Batu Sapi.

“Saya faham, dalam keadaan susah selepas hilang kediaman dan harta benda, terpaksa pula tinggal di Dewan PPR Taman Batu Sapi yang dipenuhi ramai orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran dan perasmian Pusat Perkhidmat­an Rakyat Batu Sapi di Taman Vista di sini, semalam.

Yang turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Hiew Vun Zin.

Tunggu kelulusan

Katanya, tapak pembinaan rumah panjang itu sudah dikenal pasti dan kerja pembinaan akan dimulakan dalam masa terdekat sebaik mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandara­n Sandakan.

Kebakaran pada 27 Jun lalu itu memusnahka­n 147 rumah menyebabka­n 1,259 orang daripada 171 keluarga hilang tempat tinggal.

Dalam pada itu, Vui Keong berkata, permohonan membina Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Batu Sapi dalam proses menunggu kelulusan Kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata wujud keperluan membina kemudahan itu di Batu Sapi kerana kawasan itu terlalu luas dan banyak perkampung­an atas air, selain jauh dari BBP Sandakan.

 ?? FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH] ?? Vui Keong (tiga dari kanan) merasmikan Pusat Perkhidmat­an Rakyat Batu Sapi, di Sandakan, semalam.
FOTO POLIANA RONNIE SIDOM/BH] Vui Keong (tiga dari kanan) merasmikan Pusat Perkhidmat­an Rakyat Batu Sapi, di Sandakan, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia