Jho Low perlu bertanggungjawab: Najib
Ahli perniagaan diminta ambil tindakan jika Equanimity diperoleh secara tidak sah
Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, perlu bertanggungjawab jika kapal mewah Equanimity yang dikatakan sebagai miliknya, diperoleh secara tidak sah.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata setiap tindakan perlu dilakukan berlandaskan undang-undang.
“Saya ingin menyatakan tiada sesiapa boleh melangkaui kedaulatan undang-undang dan sesiapa saja yang melakukan kesalahan, perlu dikenakan tindakan undangundang.
“Jika kapal mewah itu diperoleh secara tidak sah iaitu menggunakan wang bukan miliknya seperti didakwa, dia (Jho Low) perlu bertanggungjawab. Itu pendirian saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, semalam.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mencabar Jho Low pulang ke Malaysia untuk bersemuka dengan pihak berkuasa selepas mengkritik rampasan kapal Equanimity.
Khairy dilaporkan berkata, Jho Low mesti keluar daripada persembunyian jika beranggapan tidak melakukan kesalahan.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, UMNO akan terus terpalit dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selagi Jho Low melarikan diri dan kes mahkamah berkaitannya tertangguh.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, Jho Low perlu menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan segera pulang ke tanah air bagi menjawab pelbagai dakwaan berhubung isu 1MDB.
Bercakap kepada media juga di Lobi Parlimen, semalam, beliau berkata nama ahli perniagaan kontroversi itu terlalu banyak dikaitkan dengan 1MDB dan meninggalkan kesan buruk terhadap negara.
Buktikan jika tak bersalah
“Kalau tak bersalah, pulang ke Malaysia untuk buktikan. Rakyat tak boleh selama-lamanya berdepan isu ini kerana banyak perkara lain perlu diberi perhatian.
“Dia (Jho Low) kena jelaskan kebenaran. Kita Ahli Parlimen juga nak tahu kebenaran, bukan tuduhan yang sampai sudah tiada bukti dan tak ikut undang-undang,” katanya.
Annuar mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menerusi akaun Twitter rasminya, yang mendesak Jho Low kembali ke Malaysia dan berdepan dengan pihak berkuasa.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menyertakan pautan berita mengenai Jho Low yang antara lain mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, merampas prosiding undang-undang negara lain bagi mendapatkan kapal mewah Equanimity dikaitkan dengan 1MDB.