20,000 rumah mampu milik bakal dibina di Sarawak
Miri: Sejumlah 20,000 rumah mampu milik bakal dibina di negeri ini dengan ketetapan harga pasarannya sama seperti di Semenanjung antara RM35,000 hingga RM45,000 seunit dan menyediakan keluasan ruang lebih selesa.
Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng, berkata keluasan keseluruhan ruang rumah adalah sekali ganda lebih luas daripada yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan yang dikuasai parti terdahulu.
“Kerajaan Persekutuan akan membina 200,000 rumah mampu milik di seluruh negara dan kita minta supaya kementerian berkaitan memperuntukkan sekurangkurang 10 peratus (20,000 unit) untuk Sarawak bagi membolehkan kita membantu rakyat memiliki rumah sendiri,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Di Sarawak, harga rumah mampu milik sebelum ini antara yang tertinggi di Malaysia sehingga mencecah RM55,000 seunit.
Kadar baharu ditetapkan
Terdahulu, Michael melancarkan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Miri di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Miri di Jalan Sri Dagang, di sini.
Michael berkata, kadar harga itu akan ditetapkan untuk semua projek baharu yang akan dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kera jaan Tempatan di negeri ini.
Katanya, menjadi matlamat Kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) memastikan semua penduduk dapat memiliki rumah sendiri pada harga murah, munasabah dan tidak membebankan.
“Kita berharap kerajaan negeri dapat menyediakan tapak membina rumah mampu milik untuk memastikan kos pembinaan dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau berkata, langkah kerajaan mengecualikan bahan binaan, khususnya simen dan batu bata daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mampu mengurangkan harga rumah secara keseluruhannya.