Berita Harian

Pemandu bas terbabit nahas positif methamphet­amine

Cuba lari daripada dikejar orang ramai selepas insiden di Keramat

- Oleh Nor Azizah Mokhtar, Teoh Pei Ying dan Hasbi Sidek

Pemandu bas Rapid KL berusia 32 tahun yang merempuh tujuh kenderaan sepanjang perjalanan dari Taman Keramat hingga Jalan Ampang, dekat sini, malam kelmarin, disahkan positif dadah jenis methamphet­amine.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

“Siasatan dijalankan bersama oleh polis Kuala Lumpur dan Selangor. Pemandu itu ditahan polis Ampang memandangk­an insiden pertama berlaku di dalam kawasan mereka.

“Bagaimanap­un, siasatan masih berjalan,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Empat individu cedera

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira empat individu cedera dalam kejadian itu, apabila kenderaan dinaiki mereka dilanggar bas berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, pula dipetik sebagai berkata sebelum kejadian di Jalan Ampang, bas itu terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Taman Keramat.

Susulan itu, pemandu berkenaan memecut bas secara melulu dan cuba melarikan diri daripada orang awam yang mengejarny­a melalui Jalan Ampang, sehingga berlaku perlanggar­an dengan lima lagi kenderaan lain.

Mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sekumpulan lelaki yang disyaki menyerang pemandu itu akan ditahan, Mazlan berkata, pemandu berkenaan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu.

“Kita akan menjalanka­n siasatan sebaik sahaja menerima laporan itu,” katanya.

Sementara itu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengendali­kan tuntutan insurans susulan insiden berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohd Azam Omar, berkata pemilik kenderaan terbabit dalam kejadian itu yang berhasrat mengemukak­an tuntutan, boleh menghantar­nya bersama dokumen berkaitan melalui e-mel ke suggest@rapidkl.com.my.

“Pihak Rapid Bus amat kesal atas insiden yang berlaku dan bekerjasam­a penuh dengan polis serta pihak berkuasa berkaitan, untuk menyiasat kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, bas terbabit dalam insiden itu berada dalam keadaan baik ketika digunakan.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Bus, Shamsul Rizal Mohd Yusof, pula berkata semua pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan akibat dirempuh bas Rapid KL terbabit, akan diberikan pampasan.

Beliau berkata, mereka boleh menghubung­i talian bantuan 037885 2585 berhubung perkara itu.

“Pemilik kenderaan terbabit perlu melalui beberapa prosedur terlebih dahulu, bagi membolehka­n mereka menuntut pampasan, termasuk membuat laporan polis.

“Pada masa sama, kita akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Kita memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya pada sidang akhbar di Depot Rapid KL Maluri, di sini, awal pagi semalam.

Shamsul Rizal berkata, semakan pihaknya mendapati pemandu bas terbabit memiliki rekod prestasi baik sepanjang dua tahun berkhidmat dengan Rapid KL.

Nafi pemandu meninggal

Dalam pada itu, Zulkefly dalam satu kenyataan ringkas semalam, mengesahka­n pemandu bas terbabit tidak meninggal dunia seperti diviralkan dalam media sosial.

“Pemandu itu tidak meninggal dunia dan akan keluar hospital pada jam 3 petang ini (semalam). Dia mengalami kecederaan di kepala dipercayai dipukul ketika di- tangkap orang awam,” katanya.

Beliau turut memaklumka­n tiada penumpang berada di dalam bas Rapid KL terbabit ketika kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu.

Sementara itu, Muhammad Azri Mohd Arip, 22, menafikan dakwaan bahawa beliau bersama tiga orang lagi yang mengejar bas Rapid KL terbabit sejauh kira-kira empat kilometer hingga ke Jalan Ampang, ada membawa pedang samurai dan membelasah pemandu kenderaan itu.

Beliau adalah pemilik gerai burger yang dilaporkan dirempuh di Jalan Enggang berhampira­n Flat PKNS, AU2 Taman Keramat, dekat sini, sebelum bas terbabit dikejar.

“Memang kami berempat mengejar dengan menunggang dua motosikal tetapi tidak memukulnya. Kami juga tidak membawa sebarang senjata tajam atau kayu,” katanya.

Beliau turut mendakwa, rempuhan itu menyebabka­n meja di gerai burger bertaburan, manakala ibunya yang mendukung anak saudara beliau berusia dua bulan pula tersepit di antara gerai dengan pembahagi jalan.

Pemandu itu ditahan polis Ampang memandangk­an insiden pertama berlaku di dalam kawasan mereka” Mazlan Lazim, Ketua Polis Kuala Lumpur

 ??  ??
 ?? [FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] ?? Bas Rapid KL yang terbabit nahas.
[FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR /BH] Bas Rapid KL yang terbabit nahas.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia