Semangat kebersamaan, penyatuan rakyat Malaysia
Pameran Teh Tarik With the Flag papar identiti, nasionalisme masyarakat berbilang kaum
Jalur Gemilang dan teh tarik yang menjadi minuman kegemaran rakyat Malaysia, mungkin bukan satu padanan sinonim tetapi dalam Pameran Teh Tarik With the Flag di Balai Seni Negara di sini, ia menjadi simbol yang saling menyatu untuk memaparkan kebersamaan serta semangat kenegaraan tinggi dimiliki masyarakat berbilang kaum.
Kurator Pameran Teh Tarik With the Flag, Lim Wei-ling, berkata teh tarik sejak sekian lama menjadi menu yang membawa rakyat Malaysia duduk semeja dan berbual mengenai harapan serta berkongsi kebimbangan mereka tanpa mengira agama, umur, taraf sosial dan pandangan politik.
Simbol kemegahan
Wei-ling berkata, semangat itu turut dibawa Jalur Gemilang yang menjadi lambang kemegahan kepada identiti masyarakat yang dapat dilihat dengan jelas dalam persaingan badminton di luar negara membabitkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
“Rakyat Malaysia yang menjadi penonton sebenarnya tidak pernah saling mengenali tetapi ketika berada di satu tempat asing, Jalur Gemilang itulah yang menyatukan kita.
“Ia tidak boleh dilihat sekadar kain berwarna, sebaliknya Jalur Gemilang ialah lambang yang menyatukan rakyat Malaysia di atas semangat perpaduan dan cintakan negara yang sama.
“Semangat inilah dibawa melalui Teh Tarik With The Flag. Seniman dalam pameran ini merenung Jalur Gemilang dan mengolah kreativiti dalam menyorot persoalan berkaitan identiti, nasionalisme dan kewarganegaraan,” katanya.
Teh Tarik With The Flag diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara, menampilkan karya 13 seniman tanah air termasuk Anurendra Jagadeva, Chong Kim Chiew, Choy Chun Wei, Fauzan Omar, Hamidi Hadi, Hasnul Jamal Saidon, Hayati Mokhtar, HH Lim, Ivan Lam, Rajinder Singh, Sean Lean, Sulaiman Esa dan Yau Bee Ling.
Wei-ling berkata, karya dihasilkan seniman tidak hanya menyentuh kebimbangan dan harapan kepada negara, bahkan mendekati sesuatu yang lebih akrab dan bersifat peribadi.
Perbesar makna simbolik
“Ada antara karya dihasilkan melangkau jauh ciri formalnya di samping memperbesar makna simbolik yang dibawa.
“Ada juga karya dipersembahkan supaya menonjolkan interaksi dua hala seperti A Few Malaysia (s), iaitu pemasangan bendera dengan rak logam yang memerlukan pengunjung menyumbang apa saja fabrik berwarna merah dan putih yang dimiliki bagi ‘melengkapkan’ Jalur Gemilang,” katanya.
Beliau berkata, A Few Malaysia (s), dihasilkan bagi menarik perhatian mengenai realiti perbezaan serta garisan pemisah dalam kebudayaan, sosial dan isu ekonomi yang mungkin wujud dalam masyarakat di negara ini.
“Meskipun semangat kebersamaan itu aspirasi yang baik, penting untuk kita mengenalpasti apa yang dihadapi masyarakat dalam kehidupan seharian mereka kerana tanpanya, konsep kebersamaan hanya menjadi tidak lebih cakap-cakap saja,” katanya. Sementara itu, Hayati melalui
No 55, Main Road, cuba menarik perhatian khalayak terhadap isu pembangunan yang hampir melenyapkan rumah kedai yang wujud di Kampung Kepayang, Ipoh, sejak zaman sebelum perang.
Paparan berterusan tiga panel video berdurasi 17 minit termasuk yang memaparkan kediaman lelaki Cina berusia 87 tahun, Chang Ching cuba menyoroti kemusnahan sesuatu warisan yang berlaku seiring proses modenisasi.
Peristiwa bersejarah 9 Mei lalu, turut menjadi tarikan kepada Fauzan untuk menghasilkan karya The Battlefield.
Menggunakan poster, banting dan bendera daripada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Faizal mengetengahkan tanggungjawab penting menanti kerajaan selepas Malaysia membuat pilihan pada 9 Mei lalu.
Teh Tarik With The Flag dianjurkan Balai Seni Negara dengan kerjasama Wei-ling Gallery yang berlangsung sehingga 17 September ini.