Tawar 100 tiket warga asing pulang
Inisiatif KDM kurangkan lambakan pendatang di Pusat Tahanan Imigresen
Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing Malaysia (KDM) menawarkan 100 tiket penerbangan kepada pendatang asing tanpa izin untuk pulang ke negara asal.
Presidennya, Datuk Seri Thiagaraja, berkata inisiatif itu diambil pihaknya bagi membantu mengurangkan lambakan warga asing, khususnya yang ditahan dalam Pusat Tahanan Imigresen.
Katanya, KDM mendokong usaha kerajaan menyelesaikan isu warga asing.
Kompaun tinggi
“Keutamaan akan diberikan terhadap wanita, kanak-kanak dan warga emas yang sudah uzur serta hilang keupayaan. Kebanyakan warga asing ini menetap lebih daripada tempoh ditetapkan, sekali gus berdepan dengan kompaun tinggi.
“Justeru, kita berharap kerajaan dapat membantu memberi rebat atau diskaun bagi usaha penghantaran pulang kumpulan ini,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Thiagaraja berkata, pihak yang ingin mendapatkan tawaran itu diminta menghubungi talian 03-5612 7771 atau 03-5624 1555, atau emel kepada kdm.wargassing@gmail.com.
Pertimbang hak asasi
Beliau juga meminta kerajaan memberi perhatian kepada beberapa perkara aspek berkaitan pengurusan pendatang yang lebih adil dan menimbangkan perihal hak asasi mereka.
“Kami bersedia menjadi organisasi utama ke kem penahanan imigresen bagi menyalurkan bantuan seperti perkhidmatan doktor dan sebagainya,” katanya.