Berita Harian

Bekas Menteri Kewangan II cadang buat laporan polis

-

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangk­an kepada kerajaan supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal mengembali­kan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar RM16.046 bilion.

“Saya cadangkan buat laporan polis supaya penyiasata­n boleh dibuat jika berlaku pecah amanah seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu mengulas pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kerajaan BN gagal mengembali­kan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei lalu.

Johari berkata, sebarang tuduhan pecah amanah harus ditujukan kepada seseorang, bukannya dibuat secara umum.

“Tidak boleh dibuat secara umum (tuduhan pecah amanah),” katanya sambil menjelaska­n beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya.

Tiada maklumat terperinci

Beliau berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Ketua Setiausaha Perbendaha­raan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Saya tidak boleh komen tanpa ada fakta dan maklumat terperinci. Namun, perkara itu boleh dirujuk kepada (bekas Ketua Setiausaha Perbendaha­raan) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan juga Pengerusi LHDN,” katanya.

Ditanya adakah isu cukai tidak dibayar itu pernah dibangkitk­an oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Johari berkata, perkara itu tidak pernah ditimbulka­n.

“Setakat ini, belum ada... mungkin mereka (PH) tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai perkara itu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pendedahan Guan Eng mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai di laman sosial.

Pengguna Facebook (FB) yang dikenali sebagai Speed Solo, berkata pendedahan itu bagus supaya rakyat tahu penipuan kerajaan sebelum ini.

Seorang lagi pengguna FB, Smart Gadget pula berpendapa­t hutang dan salah laku memang perlu didedahkan supaya rakyat mengetahui perkara berkenaan.

Bagi Azran Zawawi, jika dakwaan itu benar, kerajaan perlu segera mendakwa pihak terbabit dan jangan membuat spekulasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia