Berita Harian

‘Tumpu usaha bina negara, bukan cerita hal komplot’

TPM nafi dakwaan wujud cubaan halang Anwar jadi PM kelapan

- Oleh Nadia Hamid dan Veena Babulal

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu rakyat menumpukan kepada soal membina kesejahter­aan negara dan bukannya bercerita hal komplot yang kononnya sedang berlaku dalam PKR.

Timbalan Perdana Menteri berkata, PKR yang dipimpinny­a dan Pakatan Harapan (PH) sudah bebas serta membentuk kerajaan.

Susulan itu, katanya, PKR sedang bekerjasam­a dengan menteri Kabinet lain dalam PH bagi melakar usaha membentuk kerajaan yang lebih baik untuk masa depan.

“Apa? Tidak (tiada plot). Kita sudah bebas sekarang, kita berdikari. Apa yang anda persoalkan lagi mengenai cubaan komplot? Jangan buat tuduhan ini semua,” katanya mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bahawa tidak berlaku komplot dalam PKR untuk menghalang­nya daripada menjadi Perdana Menteri kelapan.

Jawapan Dr Wan Azizah itu juga merujuk kejayaan gabungan PH mengakhiri enam dekad pemerintah­an Barisan Nasional (BN) sejak 1957 pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU-14) lalu.

Beliau bercakap kepada media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 500 penduduk di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, di sini, semalam.

Ditanya sejauh mana kepercayaa­n beliau kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa merangka ‘muslihat’ dengan beberapa pemimpin PKR berhubung isu menjatuhka­n Anwar, Ahli Parlimen Pandan itu menyangkal dakwaan berkenaan.

Bentuk kerajaan bersama Dr Mahathir

“Kita sudah membentuk kerajaan bersama (Dr Mahathir). Kita perlu menjayakan pembentuka­n kerajaan ini sebagaiman­a kita menukar kerajaan selepas 61 tahun.

“Saya meminta semua rakyat Malaysia tampil menjayakan Malaysia baharu, terutama menjelang Hari Kebangsaan dan Aidiladha ini,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ijok, Dr Idris Ahmad mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menaja beberapa pemimpin PKR untuk memporakpe­randakan dalaman parti.

“Saya tahu sikap jahat Dr Mahathir (dan beliau mendapat) pertolonga­n Daim. Jangan percaya mereka. Lihatlah bagaimana Dr Mahathir dan Daim menggunaka­n pemimpin PKR sebagai ‘boneka’ untuk menjatuhka­n parti,” katanya pada majlis di Ayer Keroh, Melaka.

Ahli Parlimen Kapar yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani pula mendakwa Anwar akan berdepan laluan sukar menjadi Perdana Menteri jika Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak berjaya mengalahka­n Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti November depan.

Kelmarin, Abdullah mengemukak­an surat permohonan maaf kepada Dr Mahathir membabitka­n isu peralihan kuasa Perdana Menteri selepas perbincang­an dengan Anwar melalui panggilan telefon selama 41 minit.

Ketika ditanya adakah peraturan pemilihan PKR ditujukan kepada kem dan individu tertentu seperti Rafizi, Dr Wan Azizah berkata, ia termaktub kepada semua calon pemilihan.

Pada 26 Jun lalu, PKR memperkena­lkan beberapa peraturan baharu yang ketat untuk calon pemilihan parti itu termasuk menghalang mereka mengadakan ceramah dan membuat jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang.

 ?? [FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN /BH] ?? Dr Wan Azizah Wan Ismail ditemu bual media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, semalam.
[FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN /BH] Dr Wan Azizah Wan Ismail ditemu bual media selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Surau Al Falah, Taman Cempaka, Ampang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia