Berita Harian

Tangani isu pendidikan dengan kemas, jujur

-

Penubuhan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diumumkan pada 17 Ogos lalu mengundang pelbagai reaksi, malah ada yang menganggap­nya tidak menepati tertib.

Namun, kita perlu bersangka baik dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu berkongsi ruang perbincang­an bagi mendapatka­n nasihat atau buah fikiran terbaik ke arah memacu bidang pendidikan yang betul.

Melihat komen yang diutarakan, jelas komposisi ahlinya gagal menggamit keyakinan ‘otai’ pendidikan. Bunyi yang serupa kedengaran apabila Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dilantik baru-baru ini.

Ke arah lebih baik

Kita perlu ingat bahawa ‘Malaysia Baharu’ yang terbentuk hari ini, sejarahnya bukan bermula pada 9 Mei lalu, sebaliknya sejak lama dengan evolusinya tersendiri.

Sudah tentu dalam perjalanan itu, ramai pakar pendidikan dilahirkan, mereka yang benar-benar masak, empuk dan serasi dengan dunia pendidikan negara.

Maka apabila ‘otai’ pendidikan ini ‘berbunyi’, sudah tentu ada janggalnya sama seperti kisah DBP. Setiap rakyat yang mengundi mahukan Malaysia bergerak ke arah lebih baik.

Pendidikan kita sudah lama menjadi mangsa percubaan atau try and error. Ketika era kerajaan terdahulu, menterinya mengupah ‘otak luar’ untuk memikirkan pendidikan negara.

Ia adalah otak asing yang gagal memahami pendidikan yang diperlukan rakyat Malaysia dan keadaan sebegini tiada bezanya jika kita mengambil ‘otak tempatan’ tetapi berfikir seperti ‘otak asing’. Inilah yang dikhuatiri oleh kelompok ini.

Asas kebimbanga­n ini jelas apabila individu yang gagal berhujah secara ilmiah berkaitan pelaksanaa­n Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan kemudian Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP), dilantik menganggot­ai majlis ini.

Rekod baik

Kami mencadangk­an agar ahli MPPK ini dipertimba­ngkan semula. Kita mempunyai keyakinan penuh terhadap Pengerusin­ya, Tan Sri Wan Zahid Wan Nordin yang pernah menggalas tanggung jawab Ketua Pengarah Pendidikan dengan jayanya sebelum ini.

Babitkan juga Lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), yang menyelaras dan menyelia institusi pendidikan Islam pada peringkat sekolah.

Kita juga berkeyakin­an penuh terhadap menteri yang menunjukka­n sikap terbuka mengkaji semula kesan pengiktira­fan Sijil Peperiksaa­n Bersama (UEC) terhadap pendidikan negara.

Sudah tentu saranan untuk dipertimba­ngkan semula keahlian MPPK bukanlah sesuatu yang sukar, melainkan ada kepentinga­n lain melebihi kepentinga­n pendidikan secara utuh.

Kita mengharapk­an selepas ini, setiap isu atau permasalah­an pendidikan dapat ditangani dengan kemas dan didokong semua pihak secara jujur dan bersungguh-sungguh.

Ia bermula dengan keahlian anggota badan penasihat yang mempunyai kewibawaan tinggi dan dihormati.

Jika setiap segmen pendidikan berjaya diwakili dengan berkesan, ia mendatangk­an keyakinan bahawa dasar pendidikan yang bakal lahir semasa era Malaysia Baharu ini adalah dasar yang inklusif dan mempunyai matlamat jelas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia