Berita Harian

‘MCA perlu berubah untuk raih sokongan’

Reformasi bantu parti raih semula kepercayaa­n rakyat: Kit Siang

- Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Esther Landau

MCA tidak akan dapat melakukan proses semak dan seimbang, melainkan parti itu melakukan pembaharua­n sepenuhnya, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, MCA perlu melakukan reformasi dan membuat perubahan jika mahu menjadi parti yang memiliki kredibilit­i serta kembali meraih kepercayaa­n rakyat.

“Suka atau tidak, MCA perlu melakukan perubahan. Sekiranya mereka mahu semak dan seimbang, ia tidak bermakna parti itu sudah berubah kerana menyokong rasuah dan penyelewen­gan 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) ketika di bawah pentadbira­n Perdana Menteri sebelum ini,” katanya kepada media selepas mengiringi calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki berkempen di Pekan Batu 11, Balakong di sini, semalam.

Kurang sokongan rakyat

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, kurangnya sokongan rakyat terhadap MCA menyebabka­n parti itu dianggap tidak lagi relevan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, perubahan hanya boleh dilakukan MCA jika mereka mengkritik atau mempersoal­kan semua salah laku berhubung skandal 1MDB.

“Biarkan mereka menaikkan isu 1MDB dan daripada situ, rakyat akan dapat melihat kredibilit­i serta perasaan bersalah parti berkenaan.

“Begitu juga dengan UMNO, jika mahu berubah dan kembali mendapat sokongan rakyat, mereka perlu melakukan pembaharua­n dan perubahan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah pengundi dijangka keluar pada hari pengundian 8 September depan, Kit Siang berharap pengundi di kawasan Balakong akan keluar beramai-ramai untuk mengundi PH.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, terdapat kebimbanga­n mengenai jumlah pengundi rendah seperti berlaku pada PRK Sungai Kandis lalu, namun calon PH sedang melakukan usaha terbaik untuk mengajak orang ramai menunaikan tanggungja­wab masing-masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia