Berita Harian

Rahsia sebalik nama ‘Malaysia’

-

Kuantan: “Saya bangga dan sangat berterima kasih kepada arwah bapa dan ibu yang memberi nama Malaysia selepas saya dilahirkan pada hari yang sangat istimewa dalam sejarah negara.

“Biarpun pada peringkat awalnya terutama pada zaman kanakkanak, saya mempunyai perasaan rendah diri dan malu apabila asyik dipanggil ‘Malaysia’, lama-kelamaan panggilan itu semakin serasi dengan saya kerana saya tahu rahsia di sebalik nama diberikan,” kata Rosni Malaysia Buyong.

Rosni Malaysia, 55, dilahirkan pada jam 8.15 pagi ketika Yang Dipertuan Agong ketiga mengisytih­arkan Pembentuka­n Malaysia pada 16 September 1963.

“Selepas ibu saya, arwah Cik Hamidah Ahmad bersalin (meninggal dunia pada 1992), pihak hospital tentera di Padang Tembak segera memaklumka­n kelahiran saya kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.

“Arwah ayah pernah bercerita, ketika lawatan Tunku ke rumah, beliau turut membawa hadiah dan mengikat kain kuning pada lengan kiri saya sebagai tanda menjadi seorang daripada anak angkatnya sempena pembentuka­n Malaysia,” katanya.

Rosni Malaysia juga adalah anak angkat kepada Allahyarha­m Tun Abdul Razak Hussein pada 27 Oktober 1966 ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan.

Terima undangan Tunku

Beliau berkata, dia dilahirkan di rumah bernombor 675, kuarters Kementeria­n Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ketika bapanya, Buyong Ali (meninggal dunia pada 1990) berkhidmat sebagai anggota tentera.

Katanya, ketika berusia setahun, dia dan keluarga menerima undangan ke kediaman Tunku yang kemudianny­a memberikan gelaran ‘Ros Malaysia’ kepadanya.

“Bagaimanap­un, nama sebenar saya dalam kad pengenalan ialah Rosni Malaysia dan nama Rosni itu arwah ayah dan ibu sudah pilih sebelum saya dilahirkan lagi dan gabungan dua nama itu menjadikan nama saya begitu istimewa kepada mereka berdua.

“Di kampung atau di mana-mana saja saya lebih dikenali dengan panggilan Ros Malaysia atau Millie iaitu nama manja yang turut diberikan oleh Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Rosni Malaysia berkata, dia juga malu apabila orang tuanya kerap memperkena­lkannya kepada rakan dan saudara mara bahawa dia adalah ‘Anak Malaysia’ dan anak angkat kepada Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Bagaimanap­un, selepas dewasa, Rosni Malaysia mula memahami keunikan nama Malaysia yang diberikan kepadanya.

“Malaysia adalah satu nama besar dan ke mana saja saya pergi, nama ini dibawa seolah-olah saya membawa sebuah negara berdaulat yang secara tidak langsung mencermink­an keperibadi­an bangsa dan maruah keluarga saya,” katanya yang turut diraikan pada majlis sambutan kemerdekaa­n yang diadakan di peringkat sekolah.

Dia yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, di sini, mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Nazri Abdul Karim, 60, dan dikurniaka­n tiga anak lelaki.

Katanya, banyak kenangan manis dan pahit yang dilaluinya hanya kerana memiliki nama istimewa itu.

 ?? [FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI /BH] ?? Rosni Malaysia menunjukka­n kad pengenalan­nya di Kuantan.
[FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI /BH] Rosni Malaysia menunjukka­n kad pengenalan­nya di Kuantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia