Berita Harian

MB Perak tegur EXCO

Keluar kenyataan bercanggah keputusan kerajaan negeri

- Oleh Zahratulha­yat Mat Arif

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menegur Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berikutan kenyataann­ya berhubung status hak milik tanah 999 tahun bagi kampung baharu yang bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan terbuka kepadanya, tetapi dalam sesetengah hal ia perlu dibuat secara tertutup dan bukan secara umum kerana boleh memberikan pandangan tidak baik kepada rakyat.

“Saya akui tidak gembira dengan kenyataan Abdul Aziz yang memberi pandangan berbeza dengan pandangan kerajaan negeri melalui media kerana dalam mesyuarat EXCO, sesiapa boleh memberi pandangan secara terbuka dan tertutup dalam pejabat saya, tetapi bukan secara umum.

“Namun, saya fikir ini pengalaman baharu bagi ramai orang termasuk saya dan perkara ini boleh dibaiki, cuma jangan tunjuk perbalahan serta perbezaan pandangan itu secara umum, ia tidak bagus,” katanya selepas menghadiri majlis ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid Al-mukmin, Kampung Batu 3 Chenderian­g, di sini, semalam.

Ahmad Faizal berkata, beliau menasihati semua EXCO kerajaan negeri, pemimpin dan ahli Pakatan Harapan (PH) yang lain untuk menerima apa juga pandangan dibuat pemimpin negeri.

Ditanya sama ada beliau turut menerima tekanan daripada pemimpin PH yang lain berhubung isu milikan tanah berkenaan yang dilihat menimbulka­n rasa tidak senang beberapa pemimpin PH khususnya daripada DAP, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak menerima tekanan dan tidak tertekan dengan perkara itu.

Yakin isu dapat diselesai

“Hari ini (semalam) saya solat sunat Aidiladha bersama-sama beliau (Abdul Aziz) dan rakan EXCO lain di Masjid Negeri, tidak ada masalah. Saya tidak tertekan dan jika nampak saya sedikit murung, mungkin saya penat, tetapi bukan susah hati,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau yakin isu berkaitan tanah itu dapat diselesaik­an segera kerana kerajaan negeri akan mengadakan bengkel membabitka­n penyertaan beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan negeri bagi membincang­kan kaedah dan cara pelaksanaa­n semua manifesto PH di Perak, termasuk membabitka­n isu tanah.

Katanya, ia kerana ada beberapa pandangan berhubung isu berkenaan perlu dibincangk­an membabitka­n semua sudut dan PH tetap komited melangsaik­an serta menunaikan janji manifesto pilihan raya yang dibuat sebelum ini tanpa perlu melanggar Perlembaga­an Persekutua­n.

“Dalam bengkel ini, mereka boleh bincang isu tanah dan semua perkara. Saya dapati isu tanah ini, ada dua pandangan berbeza, ada mengatakan ia tidak melanggar Perlembaga­an Persekutua­n dan ada juga sebaliknya.

“Namun, semua perlu maklum, Kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri datang dari pihak sama iaitu PH, jadi tidak ada masalah untuk kita bawa kedua-dua pandangan kepada kepimpinan Pusat bagaimana arah tuju yang jelas untuk laksanakan perkara ini,” katanya.

Ketika sesi penggulung­an perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri menetapkan pendirian cadangan untuk memberikan status hak milik tanah 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung baharu bercanggah dengan Perlembaga­an dan tidak dapat dilaksanak­an.

Bagaimanap­un, perkara itu menimbulka­n rasa kurang senang beberapa pemimpin PH negeri, termasuk Abdul Aziz yang kemudianny­a membuat sidang media berhubung isu itu dan menjelaska­n hal berkaitan tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan menegaskan pemberian status tanah bercanggah Perlembaga­an Persekutua­n adalah salah sama sekali.

 ?? [FOTO L MANIMARAN/BH] ?? Ahmad Faizal pada sidang media selepas hadiri majlis ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid Al-mukmin, Kampung Batu 3 Chenderian­g, Tapah, semalam.
[FOTO L MANIMARAN/BH] Ahmad Faizal pada sidang media selepas hadiri majlis ibadah korban sempena Aidiladha di Masjid Al-mukmin, Kampung Batu 3 Chenderian­g, Tapah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia