Berita Harian

Malaysia perlu ada indeks nilai psikologi: Lam Thye

-

Kuala Lumpur: Pengerusi Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye mencadangk­an Malaysia mempunyai indeksnya sendiri bagi menilai kesejahter­aan psikologi rakyat terutama dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata, ia boleh dilaksanak­an dengan memperkena­lkan terma rujukan dan parameter untuk pembanguna­n Indeks Kesejahter­aan Psikologi Malaysia.

“Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai indeks bagi mengukur kesejahter­aan psikologi rakyat. Kita perlu memastikan mereka yang menyumbang kepada pembanguna­n negara berfikiran positif, matang dan mempunyai keupayaan menjadi produktif, kreatif serta inovatif,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Lam Thye berkata, Malaysia perlu meningkatk­an usaha bagi melahirkan pekerja yang seimbang secara fizikal, emosi dan rohani.

Beliau berkata, kejayaan negara bukan hanya ditentukan oleh faktor ekonomi, tetapi juga pembanguna­n modal insan berasaskan profesiona­lisme, kecerdasan dan perkembang­an kesihatan mental yang baik.

“Beberapa dekad kebelakang­an ini, masyarakat kita mengalami kemurungan. Angka dikeluarka­n Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukka­n lebih 300 juta orang di seluruh dunia mengalami keadaan disebut sebagai kemurungan klinikal,” katanya.

Masalah murung tak diambil serius

Beliau berkata, masalah kemurungan selalunya kurang atau langsung tidak dikesan kerana ia tidak diambil serius sebagai penyakit fizikal.

“Kemurungan tidak diberikan perhatian sama seperti penyakit kronik lain dan sudah tiba masanya untuk merawat kemurungan seperti penyakit serius.

“Perkhidmat­an kesihatan primer juga tidak dilengkapi kemudahan atau mempunyai amalan terbaik bagi mengenal pasti dan merawat kemurungan seperti penyakit kronik yang lain,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan kesihatan selalunya mempunyai lebih banyak pengetahua­n mengenai kegagalan jantung, asma dan diabetes berbanding masalah kemurungan.

“Contohnya, hampir setiap orang mengetahui simptom diabetes dan kita perlu menggalakk­an masyarakat meningkatk­an kesedaran mengenai kemurungan,” katanya.

Lam Thye berkata, terdapat banyak kekurangan dalam aspek pendidikan awam mengenai kemurungan dan kesan perlu dihadapi.

Katanya, peningkata­n kes bunuh diri sepatutnya meningkatk­an kesedaran masyarakat bahawa mereka perlu mendapatka­n bantuan perubatan segera terutama jika berdepan kemurungan, putus asa atau hilang minat melakukan aktiviti kegemaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia