Berita Harian

Universiti bantu pelajar hadapi masalah kewangan

-

Kuala Lumpur: Masalah kewangan yang dihadapi pelajar universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) adalah satu isu yang sering diperkatak­an dalam dunia pendidikan pada hari ini sehingga menuntut mereka untuk bekerja separuh masa bagi mendapatka­n pendapatan sampingan.

Pengorbana­n itu dibuat kerana banyak faktor termasukla­h berasal daripada keluarga susah dan perlu menanggung kos sara hidup keluarga serta dalam masa yang sama memenuhi tanggungja­wab sebagai pelajar di universiti.

Meskipun begitu, masalah berkenaan tidak pernah dipandang sepi oleh pihak pengurusan universiti seba- liknya pelbagai bantuan dihulur bagi meringanka­n beban yang ditanggung.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, berkata pihak universiti tidak mempunyai sebarang halangan bagi pelajar yang terpaksa bekerja kerana mahu meringanka­n beban kewangan masing-masing.

“Meskipun begitu, mereka perlu bijak membahagik­an masa supaya pendidikan sentiasa diutamakan dalam usaha memastikan pengajian berjaya ditamatkan.

“Pihak universiti sentiasa menghulurk­an bantuan kepada pelajar susah yang memerlukan bantuan terutama dari segi kewangan melalui pelbagai saluran termasukla­h tabung zakat dan kebajikan serta Tabung Endowmen Mygift,” katanya.

UMP antara universiti yang memperkena­lkan program bagi membantu pelajar bekerja di dalam kampus melalui Skim Pelajar Bekerja yang mula dilaksanak­an kira-kira 10 tahun lalu.

Pendapatan sampingan

Prof Yuserrie berkata, UMP memperuntu­kkan RM50,000 untuk Skim Pelajar Bekerja pada tahun ini yang turut menyediaka­n penginapan percuma kepada setiap pelajar yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Kebiasaann­ya, permohonan meningkat setiap kali musim cuti semester kerana ramai pelajar mengambil peluang untuk mencari pendapatan sampingan yang boleh digunakan untuk menampung kos pengajian pada semester akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Riswadi Azmi, berkata pihaknya mengambil inisiatif menubuhkan Seksyen Zakat, Waqaf dan Infaq (ZAWIN) yang bertanggun­gjawab dan cakna dalam menyediaka­n bantuan kepada pelajar memerlukan.

Katanya, PISM turut memperkena­lkan beberapa Skim Dermasiswa kepada pelajar antaranya Dermasiswa Al Falah, Al Amin, Al Islah dan Muallaf yang mempunyai beberapa kriteria bagi tujuan permohonan bantuan kewangan.

“Bantuan pihak PISM merangkumi semua aspek keperluan pelajar, bermula daripada pelajar cemerlang dalam pelajaran tetapi tidak berkemampu­an, bantuan kepada pelajar mualaf dan yang menghadapi masalah kesihatan serta yang ditimpa musibah atau tragedi.

“Terbaharu, Dermasiswa Al Ikhlas diperkenal­kan bagi pelajar UMT yang mempunyai latar belakang keluarga dengan pendapatan B40,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia