Berita Harian

Monoloque kembalikan era piring hitam

Tak kisah dianggap ketinggala­n zaman, utama kepuasan setiap kali hasilkan produksi baharu

- Oleh Fatin Farhana Ariffin fatin.farhana@bh.com.my

Membawa semangat untuk mengembali­kan era kegemilang­an piring hitam, kumpulan Monoloque merealisas­ikan impian itu menerusi album kedua mereka, Jangan

Puja Sampai Kecewa. Mula diperkenal­kan sejak Ramadan lalu, Monoloque berbangga apabila semua 300 salinan terjual dalam tempoh empat bulan.

Vokalisnya, Loque atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Anuar, 40, berkata mereka tidak kisah jika langkah diambil itu dianggap sebagai ketinggala­n kerana Monoloque yang ditubuhkan pada 2004 hanya mementingk­an kepuasan.

“Bukan hanya kami, sebaliknya beberapa pemuzik tempatan turut mengambil langkah yang serupa. Secara peribadi, saya berasakan muzik yang dihasilkan pemain piring hitam lebih asli, terutama bagi mereka yang mementingk­an kepuasan.

“Tidak dinafikan, pasaran untuk piring hitam lebih kecil berbanding cakera padat. Namun, persoalan itu tidak menjadi halangan untuk kami terus memberikan peminat kepuasan. Alhamdulil­lah, sambutan diberikan cukup positif.

“Pada bulan pertama diperkenal­kan, lebih 200 salinan dijual. Sambutan yang diberikan ini cukup memberangs­angkan kerana kami menghasilk­annya dalam jumlah terhad untuk mencuba pasaran. Sebagai permulaan, kami hanya menerbitka­n 300 salinan,” katanya.

Akan diteruskan

Selain Loque sebagai vokalis, pemain gitar, keyboard dan piano, Monoloque turut dianggotai Ijoo (gitar utama/piano), Dax, AJ Pop Shuvit dan Efry Arwis (bes, keyboard, perkusi) serta Bakri Ismail (dram, gendang dan perkusi).

“Insya-allah, langkah ini akan diteruskan untuk album terbaru nanti. Sejak dulu lagi, saya memang menyimpan angan untuk menghasilk­an album piring hitam. Malah, saya begitu teruja setiap kali mendengar lagu kumpulan kegemaran, The Beatles menerusi piring hitam,” katanya.

Bukan hanya kami, sebaliknya beberapa pemuzik tempatan turut mengambil langkah yang serupa. Secara peribadi, saya berasakan muzik yang dihasilkan pemain piring hitam lebih asli, terutama bagi mereka yang mementingk­an kepuasan” Loque

Loque berkata, ketika ini, Monoloque sedang giat mempromosi­kan album terbaru, Peristiwa Kampung

Batu yang diperkenal­kan menerusi platform muzik digital seperti Youtube dan Vevo. Istimewany­a, album itu dirakamkan di sebuah rumah tradisiona­l di Kampung Batu, Kuala Lumpur.

“Pada awalnya, kami merancang untuk merakamkan proses penghasila­n album itu dalam bentuk video cakera padat (DVD). Memandangk­an DVD sudah tidak lagi relevan, kami beralih kepada penstriman digital. Peminat boleh menonton proses rakaman lagu seperti Slagi Ada Waktu, Ringgit dan beberapa sentuhan lain menerusi platform digital.

“Objektif utama kami adalah untuk merakamkan lagu di luar studio rakaman. Memandangk­an kami tidak pernah merakamkan lagu di rumah kampung, kami ambil kesempatan membawa segala kelengkapa­n ke situ. Proses rakaman dilakukan selama seminggu.

“Banyak pengalaman yang kami kutip sepanjang proses rakaman dijalankan, namun kami seronok kerana ia memberikan warna baharu dalam kerjaya muzik Monoloque,” katanya. Menyifatka­n video muzik,

Peristiwa Kampung Batu itu sebagai sebuah filem pendek muzikal untuk album terbaharu mereka, Monoloque gembira usaha mencari kelainan mendapat maklum balas positif peminat.

Pupuk budaya baharu

Mengakui berdepan pelbagai cabaran, apatah lagi kediaman yang dipilih tidak lagi berpenghun­i, Loque berkata, proses rakaman dibuat pada Ramadan memandangk­an hanya pada bulan itu masing-masing mempunyai kelapangan.

Suasana Ramadan yang hening juga katanya, membuatkan mereka lebih tenang, malah berharap usaha yang dicetuskan Monoloque itu akan menjadi ikutan, terutama pemuzik muda yang ingin menyuntik kelainan dalam persembaha­n.

“Kami mahukan bunyian yang lebih semula jadi. Bekerja di luar studio rakaman juga membantu merapatkan hubungan sesama ahli kumpulan. Berbanding suasana di studio rakaman yang terkurung, merakamkan lagu di luar lebih santai dan bebas.

“Kami mahu memupuk budaya ini dalam kalangan pemuzik tempatan kerana ia sudah lama dipraktikk­an pemuzik luar. Selepas ini, kami merancang untuk merakamkan lagu di istana pula untuk projek album gamelan, Lagu Perang,” tambah Loque.

Mahu lebih dekati masyarakat

Dalam perkembang­an lain, Loque baru menyiapkan single bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani iaitu Iman Baru, selain melengkapk­an pembikinan lagu untuk album keempat mereka.

Bercerita mengenai album keempat itu, Loque berkata, mereka akan kembali kepada genre pop yang lebih mesra pendengar.

“Saya mahu lebih mendekati masyarakat. Cukuplah segala eksperimen yang saya buat selama ini. Bukan bermaksud saya berputus asa mengetenga­hkan muzik eksperimen, tetapi saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan.

“Saya mahu masyarakat lebih memahami dan menerima muzik yang saya perjuangka­n. Tetapi, saya tidak akan terlalu lari daripada muzik Nusantara yang saya ketengahka­n. Cuma, untuk album terbaru nanti, ia kedengaran lebih ringan.

“Liriknya juga lebih mudah dan ringkas, berbanding sebelum ini yang lebih kepada sastera,” katanya.

 ??  ??
 ?? [ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ] ?? Monoloque bersama pemain gitar, AJ.
[ FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN/BH ] Monoloque bersama pemain gitar, AJ.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia