Berita Harian

Sastera berupaya jalin semangat perpaduan

Karya harus lebih proaktif, efektif lakar wajah tanah air dengan rona kepelbagai­an kaum, etnik

- Oleh Siti Haliza Yusop

Novel sastera seperti Putera Gunung Tahan, Anak Mat Lela Gila, Budak Beca, Interlok, Konserto Terakhir, Imam dan Masuk ke Dalam Cahaya sudah lama melakar citra wajah pelbagai kaum di negara ini.

Bagaimanap­un, timbul persoalan mengapa karya sebegini masih tidak dapat ‘menjalin’ kembali semangat perpaduan dan kebersamaa­n antara masyarakat seperti yang pernah dimiliki sebelum ini.

Pensyarah Kanan, Jabatan Kesusaster­aan, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Norhayati Ab Rahman, berkata karya sastera kebangsaan selama ini memang dihasilkan berteras kepada hakikat bermasyara­kat dan bernegara di tanah air.

Norhayati berkata, pengarang sejak zaman awal penulisan, sudah memasukkan watak pelbagai kaum dan bangsa yang pernah wujud di negara ini seperti yang banyak ditonjolka­n melalui novel lsahak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako dan Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain.

Pengarang bukan Melayu

Menariknya di negara ini kata Norhayati, usaha menghasilk­an karya sastera sedemikian turut disertai pengarang bukan Melayu eserto, termasuk Lee Keok Chih, Peter Agustine Goh, Selina SF Lee, Jong Chian Lai, E Pian Pro Pul, Eh Deng Eh Chik dan Saroja Theavy.

Begitu juga dengan Prasert Eh Chai, Joseph Selvam, Mahat Anak China, Akiya dan Tan Bok Hoi yang menulis dalam bahasa Melayu serta melakar wajah negara ini dari perspektif kepelbagai­an kaum.

“Sastera Melayu juga memainkan peranan besar dalam mendorong ke arah perpaduan kaum seperti dibuktikan melalui karya dalam bahasa kebangsaan seperti Cerita Orang Yang Tidak Menerima Syukur ditulis Nagalingam pada 1932.

“Karya itu menjadi perintis bagi pembabitan penulis bukan Melayu dalam jalur perkembang­an kesusaster­aan kebangsaan, tetapi karya sastera masih tidak atau kurang dibaca kerana kepentinga­n pengajian sastera masih terus diremehkan di negara ini,” katanya kepada BH di sini.

Norhayati berkata, di Barat tidak timbul situasi memandang remeh pengajian sastera kerana sejak 1970-an lagi, kepentinga­nnya sudah mula ditekankan oleh sarjana seperti FR Leavis.

Leavis yang juga Sarjana Sastera di University Cambridge dalam bukunya, Education and the University pada tahu 1971 menegaskan kepentinga­n pengajian kesusaster­aan yang sepatutnya menjadi inti pengajian kepada semua pengetahua­n yang diajar di universiti.

“Menurut Leavis, pengajian kesusaster­aan penting untuk meninggika­n peradaban bangsa berbanding pengajian kejurutera­an atau vokasional.

“Kita juga perlu melakukan hal yang sama dan memastikan pengajian kesusaster­aan diperkasak­an dalam sistem pendidikan di negara ini.

“Ini boleh dilakukan dengan menekankan peranan yang dapat dimainkan pengajian sastera dalam merealisas­i falsafah pendidikan negara,” katanya.

Norhayati berkata, karya sastera harus lebih proaktif dan efektif dalam usaha melakar wajah sastera tanah air dengan rona kepelbagai­an kaum serta etnik peribumi.

Katanya, ini akan memperkaya­kan khazanah budaya bangsa Malaysia, sekali gus melahirkan wajah sastera Malaysia yang dihiasi oleh budaya tinggi masyarakat­nya yang berbilang kaum.

Menjawab isu mengapa karya sastera negara sukar merentas kaum meskipun isu yang dibawa tidak hanya melanda satu kaum saja, Norhayati berkata, ia berkait rapat dengan sistem pendidikan negara dan pendidikan bahasa Melayu di sekolah.

Beliau berkata, seperti sastera Melayu, bahasa Melayu juga menjadi alat yang penting bagi mendorong ke arah perpaduan antara masyarakat, terutama dalam situasi antara kaum hari ini.

“Bahasa Melayu bukan hanya berperanan sebagai bahasa kebangsaan sahaja, tetapi sebagai bahasa perpaduan, ilmu dan komunikasi, justeru jika semua kaum bersekolah dalam satu sistem pendidikan yang sama, ini akan mendorong mereka membaca karya sastera yang ditulis dalam bahasa kebangsaan.

Tak kenal sastera kebangsaan

“Menambahka­n masalah kini, bukan sahaja ada sekolah swasta atau persendiri­an yang tidak menggunaka­n bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, malah mereka juga tidak memasukkan teks sastera ke dalam sukatan pelajaran.

“Ini menyebabka­n pelajar bukan sahaja tidak mempelajar­i sastera kebangsaan, malah tidak mengenalny­a, terutama dalam kalangan pembaca bukan Melayu,” katanya.

Peranan bahasa Melayu sebagai ejen dalam memperbaik­i perpaduan kaum, sekali gus memastikan sastera dalam bahasa Melayu berupaya merentas kaum turut dipersetuj­ui Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2013, Malim Ghozali PK.

“Saya melihat ada jurang dalam perpaduan kita hari ini, justeru, penting untuk memikirkan bagaimana bahasa Melayu itu dapat memainkan peranan untuk memperbaik­i hubungan antara kaum hari ini.

“Namun, formula bagaimana bahasa Melayu itu dapat digunakan bagi memperbaik­i isu perpaduan kaum ini perlulah kita fikirkan bersama-sama,” katanya.

Malim Ghozali berkata, isu bahasa Melayu penting dalam memperbaik­i hubungan perpaduan kerana tidak mudah untuk seseorang penulis sekadar mewujudkan watak daripada kaum lain bagi memastikan karya mereka berupaya merentas kaum.

Pergaulan antara etnik

“Guru paling baik untuk seseorang pengarang itu tentulah pengalaman mereka sendiri justeru, jika tidak dibesarkan dan diasuh dengan dikeliling­i masyarakat berbilang kaum, sukar untuk perkara itu dipaparkan dalam karya.

“Seseorang yang bergaul dengan masyarakat berbilang kaum akan mempunyai cara sendiri dalam memandang pergaulan antara etnik lain,” katanya.

Malim Ghozali turut berkongsi pengalaman­nya bergaul dengan keluarga Cina, Benggali, India dan Turki ketika menetap di Ipoh sewaktu masih kecil.

“Adik saya sendiri boleh bertutur dalam bahasa Tamil dan saya juga boleh bercakap Cina sedikit kesan pergaulan rapat kami dengan mereka dan sebab itu juga saya boleh mencerakin watak dari pelbagai etnik kerana kami bercampur sejak kecil,” katanya.

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Pergaulan pelajar berbilang kaum mengukuhka­n perpaduan dalam masyarakat.
[FOTO HIASAN] Pergaulan pelajar berbilang kaum mengukuhka­n perpaduan dalam masyarakat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia